“Jika Kecewa Disebabkan Cinta, Janganlah Terus Menutup Rasa Cinta…” Jom Ikuti Nasihat Ini.

 

Cinta,

Dalam keadaan senang, suasananya seperti syurga…

Jika sakit dan terseksa, tetap mahu bersama…

Jom ikuti perkongsian dan nasihat tentang cinta ini….

1. Letakkan Cinta Ditempat Yang Betul.

Adik-adik, cinta tidak sukar.

Cinta itu indah. Justeru, letaknya juga perlu pada tempat yang indah. Jika saat ini anda sedang bercinta, jagalah cinta agar ia berada di tempat yang sebaiknya.

Cinta yang tertinggi adalah untuk Allah dan RasulNya.

Cinta inilah yang meredhakan usahamu dalam mencari kesempurnaan makhluk kerana anda sedang bercinta dengan Yang Maha Sempurna.

Tidak akan pernah dirimu berasa sendiri melainkan kesunyianmu digantikan dengan kasih sayangNya. Tidak akan pernah rasa tidak dihargai kerana Allah tidak akan meninggalkan hati yang mencintaiNya.

Cinta yang tertinggi inilah cinta yang sebenar. Cinta ini akan menyatukan, membahagiakan, memberi rasa selamat dan menyebarkan kasih-sayang. Cinta ini bukan sahaja tentang dua hati berlainan jantina. Cinta ini lebih luas sebarannya.

Cinta kepada ibu bapa, cinta kepada keluarga, cinta kepada agama, cinta kepada masyarakat, cinta kepada negara, dan cinta kepada seluruh umat. Semuanya berada di bawah satu rasa cinta agung iaitu cinta kepada Allah SWT.

2. Cinta Allah Cinta Agung.

Ketahuilah bahawa cinta itu satu fitrah. Jika adik-adikku sekarang sedang patah hati dan kecewa disebabkan cinta, janganlah ditutup rasa cinta. Jangan dibina sumpah untuk menolak fitrah hanya kerana satu kecewa. Jangan dirosakkan fitrah kerana amarah.

Pada masa ini mata dan minda ditutup oleh nafsu jika kau tidak berhati-hati. Hidup dirasakan sempit sehingga kau tidak menyedari alam dan seluruh rahmatNya yang terlalu luas.

Usahlah diagungkan tingginya cinta manusia semata-mata yang selalu sahaja membuatkan akal hilang imbangan umpama kisah Laila dan Majnun. Kerana cinta menguasai diri, Majnun mencium dinding rumah Laila. Nampak ‘sweet’, kata orang. Dirinya dibiarkan lemah kerana cinta yang kononnya sejati dan mulia sedangkan cinta tidak harus merosakkan diri, apalagi membunuh jiwa.

Ambillah kekuatanmu semula. Tegurlah diri tentang satu perkara iaitu cinta adalah milik Allah. Maka, kembalikanlah cintaMu kepada pemilik sebenarnya. Cinta adakalanya menyakitkan tapi tidak bagi yang menyedari tujuan hidup ini yang sementara. Tiadalah sesuatu itu berlaku melainkan di atas pengetahuan dan limpah kasih-sayangNya.

Allah Maha Mengetahui, Maha Bijaksana. Allah mengetahui segala yang tersembunyi, segala rahsia, segala kebaikan dan perlindungan yang tidak pernah kita ketahui kewujudannya. Tenanglah dan teruskan bercinta.

3. Cinta Sejati Menambah Cinta Kepada Allah.

Cinta sejati tidak akan menjauhkan dirimu dari Allah. Jika semakin lama cinta membuatkan diri kita membahagi cinta antara Allah dengan makhluknya, berhati-hatilah. Jika semakin lama solatmu kehilangan nikmatnya, bacaan Al-Quranmu kian menghilang, pujianmu kepada Allah beralih kepada lagu-lagu cinta, rehatlah dan sucikan hatimu semula.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda;

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehinggalah ia lebih mencintaiku daripada bapanya, anaknya, dan manusia seluruhnya.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Ingatlah bagaimana cinta telah membutakan hati isteri ‘Aziz sehingga sanggup memfitnah Yusuf. Bandingkan pula cinta isteri ‘Aziz dengan cinta Yusuf kepada Allah sehingga Yusuf sanggup tinggal di dalam penjara asalkan dirinya tidak dimurkai Allah.

Bagi Yusuf, Allah adalah pilihan utamanya. Yusuf seorang muda yang melalui begitu banyak kesukaran dan cabaran dalam hidupnya. Namun, satu pun tidak mematahkan semangat dan cinta kepada Tuhannya. Akhirnya, Yusuf menjadi orang berjaya.

Orang beriman bijak dalam memilih cinta.

Hanya cinta paling hebat dan paling mulia menjadi pilihannya. Cinta yang mendekatkan dirinya dengan dosa tidak pernah di dalam hatinya. Orang beriman menolak cinta jika cinta menyebabkan dia bersatu dengan musuh tuhannya.

Dengan cinta, orang beriman membentuk sebuah negara dengan kepimpinan yang tiada tolok-bandingnya. Lalu cinta menyebabkan terciptanya pelbagai sumbangan, sebuah tamadun terhebat dalam sejarah.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 474,507 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen