“Bila Dah Kahwin, Tak Perlu Ada Kawan Rapat Yang Berlainan Jantina…”

 

Apabila sudah memegang status suami atau isteri ini, sudah pastilah masing-masing perlu sedar batas-batas pergaulan. Bukan hanya untuk menjaga nama baik dan maruah sahaja namun ia juga adalah demi menjaga hati pasangan kita sendiri. Terutama jika memiliki rakan rapat yang berlainan jantina ini, hinggakan segala perkara yang berlaku di dalam rumah tangga dikongsi bersamanya.

Apa yang lebih menyakitkan hati adalah apabila di hadapan pasangan juga, tidak tahu menjaga tingkah laku dan setiap tutur kata. Bukan tidak boleh berkawan, tapi adalah lebih elok sekiranya berkawan dengan sama jenis ini. Lebih banyak kebaikan dari keburukannya.



Mari baca sedikit pandangan dari Puan Intan Dzulkefli ini mengenai rakan berlainan jantina yang akrab walaupun setelah berkahwin.

Salah ke jika hanya ingat berkawan?

Pendapat saya, kita tidak perlu ada kawan rapat berlainan jantina hingga tahap perlu kerap sangat berhubung.

Apatah lagi setelah bernikah, ada pasangan yang setianya hanya untuk kita serta anak-anak yang sedang sangat-sangat memerlukan perhatian.

Suka atau tidak, perbualan yang awalnya mungkin sekadar hal remeh-temeh mungkin akan berlanjutan menjadi melampaui batas. Mungkin akan mula mengimbau detik manis kenangan silam hingga kemudiannya bercerita tentang aib dan kekurangan pasangan, serta mengadu keluh kesah jerih perih berumahtangga yang sepatutnya kita hanya kongsikan dengan pasangan kita.

Ustaz kata, kadang punca kecurangan dan zina terjadi semudah dari pandangan, senyuman dan mesej "hai, hai" sahaja. Namun, oleh kerana terjebak ikhtilat, akhirnya menjadi semakin rapat, kerap berhubung, bertemu, bergurau senda. Malah akhirnya mungkin akan mula rasa sayang (nafsu yang disalah tafsir oleh godaan syaitan).

Sebab itu, tuntutan menjaga ikhtilat (pergaulan) ini sebenarnya bermula sejak bujang lagi. Inilah hikmahnya. Supaya tiada 'kisah silam' yang bakal menggoncang tiang seri rumahtangga.

Tiba-tiba datang semula 'kawan baik' yang mengadu kisah peribadi rumahtangga. Mula-mula sekadar simpati, namun sudah terlalu banyak terjadi kes sebegini yang akhirnya terjerumus ke lembah kecurangan dan penzinaan. Nauzubillah min zaliq.

Bila kata zina, jangan hanya ingat syaitan menggoda orang yang masih bujang sahaja. Bahkan setelah nikah asbab pergaulan bebas dari sebelum nikah akhirnya menjadikan jalan untuk berzina bahkan lebih mudah kerana tak risau tentang 'pak sanggup' kerana si dia memang bersuami. Tak takut kalau mengandung kerana sudah memang sudah jadi status isteri. Astaghfirullah, nauzubillah min zaliq.

"Alaaa... suka-suka je.. kami kawan lillahi ta'ala." Kalau sebegitu, jadikan mereka kawan baik pasangan kita kerana mereka sejantina. Tak perlu kita terjebak ikhtilat tanpa keperluan. Beringat dari awal adalah lebih baik.

Sejak akhir-akhir ni, banyak terbaca confessions dan berita suami yang tahu isteri berzina dengan bekas teman lelaki, kawan sepejabat, teammates. Astaghfirullah. Yang menyedihkan, si suami mungkin kerana jahil sekadar mendiamkan kerana terlalu sayang. Walhal, sebenarnya hal sebegini perlu dirujuk kepada pejabat agama untuk tindakan selanjutnya.



JANGAN LUPA, DALAM ISLAM HUKUMAN BAGI PENZINA YANG TELAH BERKAHWIN IALAH REJAM SAMPAI MATI.

Dayus bagi seorang lelaki membiarkan isteri melakukan kemungkaran hatta sekadar mendedahkan aurat rambut kepada bukan mahramnya. Apatah lagi hingga ke tahap berzina! Astaghfirullahal adzhim.

Bagi para suami pula, sekiranya benar-benar mampu, maka teruskanlah dengan pernikahan (yakni berpoligami) tanpa perlu terjebak berzina dan menzalimi hak isteri yang sedia ada, mengabaikan nafkah anak isteri kerana leka mabuk cinta. Allahuakbar.

Islam tidak zalim. Islam sangat menjaga kebajikan dan hak para suami pun isteri, namun kebanyakan dari kita yang sendiri menzalimi diri sendiri kerana kejahilan dan terlalu bertuankan nafsu.

Jangan ambil Islam ikut apa yang kita suka. Ambil separuh, buang mana yang tidak selari dengan nafsu dan lifestyle kita. Astaghfirullah.

Selebihnya sentiasa ingatkan diri, apa niat bernikah dahulu?

Kerana Allah, kerana agama, mahu ada teman penguat semangat mengejar syurga Allah. Lalu muhasabah semula, kini jalan yang sedang dilalui seiring atau tidak dengan niat dan matlamat tadi?

Para suami...

Ada ajar anak isteri hal agama?

Ada ingatkan anak isteri jaga maruah, aurat dan solat?

Ada imamkan solat anak isteri atau tidak?

Cukupkah nafkah dan tarbiyyah anak isteri selama ini?

Semua ini sentiasa perlu diingatkan. Begitu jugalah dengan isteri sebagai ibu rumahtangga. Jangan sibuk leka dengan pujian lelaki ajnabi yang sebenarnya melekakan dan sengaja menduga keimanan. Terus block hal sebegini dan sibukkan diri dengan hal-hal ibadah supaya terhindar dari godaan.



Niat yang baik menjadikan komitmen pernikahan kukuh. Kita sentiasa memperbaiki diri dan berusaha melakukan yang terbaik buat pasangan dan keluarga. Kerana pada kita, mereka adalah lubuk pahala kita.

Hormatilah ikatan nikah kalian. Begitu besarnya ikatan ini, sehingga Al Quran menyebut akad nikah sebagai mitsaqon ghaliza, atau perjanjian yang berat.

Dalam Al-Quran, ayat 'mitsaqon ghaliza' hanya disebutkan 3 kali iaitu;

(+) ketika Allah SWT menyatakan hubungan pernikahan (surah an-Nisa' : 21)
(+) ketika Allah SWT mengangkat Bukit Tsur di atas kepala Bani Israil dan menyuruh mereka bersumpah setia di hadapan Allah (surah an-Nisa' : 154)
(+) ketika Allah SWT membuat perjanjian dengan para Nabi dan Rasul Ulul Azmi (surah al-Ahzab : 7)

Cukuplah kalam ini menjadi peringatan untuk kita muhasabah kembali. Pasangan kita bukannya tunggul, sekadar mesin ATM, amah atau hamba abdi. Mereka adalah amanah dan antara jalan kita ke syurga. InsyaAllah.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 461,370 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen