“Jika Berlaku Pertelingkahan Dengan Pasangan, Elakkan Bermasam Muka Berjam-Jam Lamanya…” Jom Ikuti Kisah Menyayat Hati Ini.

 

Ada yang bertanya "Kau tak pernah bergaduh ke dengan isteri engkau?" Bohonglah kalau saya kata tak.

Beberapa tahun lepas, isteri mengajak saya pergi ke Mid Valley. Ada Baby Fair katanya. Saya yang free time tu, mengikut aje.

Siap berkemas kami bertolak.

Dalam pukul 10.00 lebih, kami sampai. Namun, kelihatan sudah banyak kereta yang beratur untuk memenuhi ruangan parking disediakan. Alhamdulillah, nasib kami baik. Kami dapat parking betul-betul berhampiran lif. Saya keluarkan stroller kakak, ambil gambar parking dan terus naik ke tingkat atas.

Sampai di atas, orang ramai telah pun membanjiri tapak festival. Saya yang jenis tak suka berada di tempat yang crowded, terasa rimas. Tetapi bila mengenangkan isteri yang sudah 7 bulan memboyot, saya butakan mata dan pekakkan telinga. Lautan manusia saya redah jua.

10 minit berlalu saya masih di situ. Berdiri dan bertahan memilih baju untuk anak yang bakal dilahirkan. Tapi bila masuk minit yang ke seterusnya, saya surrender. Dengan kakak yang dah boring dalam stroller, saya volunteerkan diri untuk menjaganya.

Saya bawa kakak pusing-pusing di ruang legar aras berkenaan. Kakak yang suka explore ni, meronta-ronta minta dilepaskan. Ok fine.

"Didi buka belt kakak tapi kakak kena janji, kakak kena behave ok?"

"K.." Jawabnya ringkas mengambil suku kata belakang.

Budak-budak kan, mana diorang kisah pasal janji. Bila kita lepas je, ke hulu ke hilir dia lari. Apa yang boleh saya buat hanyalah bersabar dan kejar. Aduhai..

Dari minit ke-11 saya tinggalkan isteri, membawa kepada 1 jam. Namun, bilangan pengunjung tidak menampakkan bakal berkurang.

"Dah lama sangat ni. Jom kakak. Kita pergi kat Ummi" kata saya sambil menarik tangannya.

Saya dukung kakak yang masih ingin berlari. Sebelah tangan lagi saya gunakan untuk menolak stroller. Beg yang tergantung pada handlenya, membuatkan perjalanan saya terhoyong-hayang. Ke kiri dan ke kanan. Sungguh mencabar.

Sekali lagi, berasakkan dengan pengunjung lain, saya gagahkan diri, membelah masuk berjumpa isteri.

"Dah ke Sayang..?" Soal saya sebaik berjumpanya.

"Yang ni je Abang''

Tunjuk dia pada saya akan beberapa pasang baju.

"Pampers new born belum beli lagi ni. Camne ye Bang..?"

Saya yang dah mula bosan, cepat-cepat ingin keluar dari situ.

"Kita cari kat lain je lah. Sini ramai orang sangatlah. Kakak pulak taknak duduk diam. Penat Abang kejar dia" Lapor saya meminta simpati.

"Ok lah. Kejap ye. Saya nak bayar"

Dalam masa menunggu tu, kakak ternampak budak-budak memegang belon free. Dia nak jugak. Berhempas pulaslah saya mencari kat mana nak dapatkan belon tu. Takpelah. Asal awak duduk diam, Didi pergi cari.

Selesai isteri membuat pembayaran, saya terus tolak stroller menuju ke pintu keluar. Tapi dia mengajak saya untuk tawaf terlebih dahulu, melawat booth-booth yang berada di dalam sebelum keluar.

"Dengan ribuan orang yang membanjir ni, awak nak redah masuk jugak..? Tak payahlah!"

"Tapi Bang, alang-alang kita dah sampai kita masuk je la kejap. Pastu, kita balik lah"

Saya diam.

Membisu.

Tak kata apa.

Selang beberapa saat, sambil memegang kening, saya menghela nafas panjang.

"MHuhhhhhh.."

Dia faham dan tahu yang saya dah takda mood.

"Abang selalu macam ni. Dah lah! Jom lah balik!"

Helaan saya membantutkan kemahuannya. Dia bertindak spontan. Menarik handle stroller dari tangan saya lalu ditolaknya tanpa menghiraukan saya. Dia keluar. Saya pun keluar. Dia bengang. Saya lagi bengang.

Keadaan itu membuatkan saya panas. Rimas dan nak marah. Tapi semua tu saya tahan. Saya hanya membontotinya dari belakang. Saya biarkan dia menolak stroller tu sendirian.

Dengan keadaannya yang sarat mengandung, dia memimpin tangan kakak. Barang-barang baby, handbag dan beg anak diletakkan dalam stroller. Kesian. Memang kesian. Tapi hembusan syaitan itu terlebih dahulu menyemarakkan api kemarahan saya daripada memberikan ihsan terhadapnya. Biarkan.

Dia berjalan menuju lif. Ditekannya button down dan kami ke AEON.

Setibanya di AEON, saya tinggalkan mereka berdua. Tanpa memberitahu ke mana saya hendak pergi, saya hanya pergi. Ketika itulah, bisikan syaitan galak bersuara dalam hati.

"Jika dia masih berkeras, kau tinggalkan aje dia. Biarkan dia balik naik teksi. Padan muka!"

Saya memang pergi. Membawa kaki tak tahu ke mana tuju. Akhirnya saya ke surau, bertenang di bangku luarnya sambil kepala bersandar di dinding. Saya dongakkan kepala dan pejamkan mata. Dan mulut pula mula melafazkan kata-kata, memohon ampun dan bantuan dari-Nya.

"Astarghfirullah..

Astarghfirullah..

Astarghfirullah.."

Perlahan-lahan air mata saya mengalir. Sedih. Sayu. Pilu. Hati saya begitu tersentuh mengenangkan isteri yang sukar memahami saya.

Pada masa itu, entah kenapa tiba-tiba terlintas pada fikiran saya kisah Mahatma Gandhi yang menghukum dirinya dek kerana anaknya yang tidak menepati janji. Dia merasakan dirinya adalah seorang ayah yang gagal apabila anaknya tidak menjadi manusia sejati.

Allah..!! Kisah itu terpalit pada diri saya. Sayalah yang bertanggungjawab menjadikan isteri saya sebegitu. Mungkin cara saya mentarbiahnya belum sempurna. Semua itu tadi adalah salah saya dan bukan silap dia.

Sejenak selepas itu, saya berfikir untuk mencari dia. Tetapi ego lelaki ini belum bersedia untuk tunduk mengakui kekhilafan sendiri.

Setelah sedikit tenang, saya keluar. Berjalan menghampiri dinding kaca yang bawahnya terdapat escalator. Tatkala memerhati gelagat seorang demi seorang yang lalu lalang, pandangan saya tertumpu pada sepasang suami isteri yang mempunyai dua orang cahaya mata.

Si suami mendukung anak sulung yang telah lena di bahunya. Manakala si ibu memegang adiknya yang bulat pipinya.

Saya teringat kakak.

Tak semena selepas itu, saya terdengar satu suara memanggil kuat nama saya.

"Didi..!!"

Saya menoleh ke belakang. Tapi kelibat kakak tidak kelihatan. Ya Allah.. Perasaan rindu terhadapnya terus menyelubungi diri disertakan rasa bersalah terhadap isteri.

"Syahadi, apa yang telah kau buat ni.." Rintih saya separuh menangis.

Saya seluk saku seluar. Mencari iPhone untuk menghubungi isteri.

"Ciss, masa ni pulak kau nak habis bateri. Macam mana ni?"

Saya buntu. Nafas sekali lagi saya tarik dalam-dalam. Bertenang. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk menunggu mereka sekitar 5 minit lagi. Jika tiada, saya akan berlari berkejar menuju kereta.

Setiap mereka yang lalu di hadapan saya, saya scan. Saya fokuskan mata hanya kepada dua warna. Merah dan turqoise. Ya. Itulah warna baju yang dipakai oleh kakak dan isteri.

"Bukan. Bukan. Bukan. Tu pun bukan. Yang tu pun bukan. Hahhh.. Tu kat sana. Alah.. pun bukan jugak"

Melilau saya mencari keduanya. Namun semuanya hampa. Pabila saya ingin memulakan langkah larian, seolah datang satu ilham mengarahkan saya untuk berpaling ke belakang sekali lagi. Dan ketika itulah, saya ternampak susuk tubuh isteri sedang termengah-mengah menolak stroller bersama kakak yang sedang berehat di dalamnya. Allah.. Nak nangis saya rasa masa tu.

Saya segera mendapatkan mereka. Perasaan ego tadi saya buang jauh-jauh. Biar dia pergi bersama serpihan-serpihan masa yang berlalu.

Saya ambil stroller dari tangan isteri. Saya galas handbag yang tersandang di bahunya. Saya pegang barang-barang yang dibimbitnya. Lalu dia menyuakan straw air coffee latte ke mulut saya. Saya minum. Selepas itu, kami berjalan bersama-sama dengan tangannya memaut erat lengan saya, seolah tiada apa yang berlaku. Oh bahagianya saya rasa.

Kami berjalan menuju bawah. Mencari kerusi untuk berehat dan ruang legar untuk kakak bermain. Di situ juga kami makan roti dan menghabiskan baki-baki air yang masih tersisa.

"Abang, jom balik" dia bersuara.

Saya masih diam. Tetapi saya hanya menjawab melalui perbuatan. Saya dapatkan kakak dan letakkan dia kembali di stroller.

Saya tolak stroller menuju escalator. Isteri yang sedang mengikut di belakang, menyangka saya akan ke mesin parking untuk membuat pembayaran. Tetapi nyata, jangkaannya silap. Saya sebaliknya menolak stroller untuk naik ke tingkat atas kembali.

"Jom, kita pergi cari pampers baby"

Dia terkejut.

Tengok, perancangan Allah kan. Cantik Dia aturkan segalanya. Saya yang tadinya dah tak sabar-sabar nak balik, kini menjadi orang pertama yang ingin membeli pampers baby.

Saya redah masuk sekali lagi. Alhamdulillah, kami dapat beli 2 beg pampers dengan harga diskaun lagi. Keluar tu, saya nampak ada pertunjukkan Transfomers kat bawah. Saya bawa kakak ke sana. Dia happy. Saya happy. Dan isteri pun happy.

Selesai semuanya, barulah kami berangkat pulang.

Dalam kereta, isteri dan kakak tertidur keletihan. Saya memandang sayu wajahnya. Dalam perlahan saya bisikkan perkataan

"Maafkan Abang Sayang. Abang terlalu berkasar dengan awak. Semua tu tadi adalah salah Abang. Abang tak sepatutnya buat begitu. Abang minta maaf"

Saya ambil tangannya lalu saya genggam erat. Bersama-sama perasaan cinta, saya kucup tangannya yang pernah berkorban nyawa buat saya. Setelah lampu isyarat bertukar warna, laju saya membawa keduanya menuju destinasi cinta.

** Pesanan buat suami : Belajarlah mengawal amarah terhadap isterimu. Lumrah isteri akalnya satu. Sekiranya amarah menguasai diri, bertenanglah. Carilah masa seketika untuk berfikir dan merungkai amarah itu.

Pesanan buat isteri : Belajarlah untuk memahami suami. Andai ada rasa tidak senang tersimpan di hati, bertuturlah dengan suara keibuan sejati.

Buat suami dan isteri : Andai berlakunya pertelingkahan, elakkan bermasam muka berjam-jam lamanya. Ambillah masa untuk menenangkan hati. Apabila sejuk kembali, sapalah pasangan dengan kemaafan dan anggaplah seolah tiada apa yang berlaku sebelumnya. Itu adalah lebih baik untuk keharmonian rumah tangga bersama.

kisah benar dari Karyawan Bisu.

********Semoga Bermanfaat********


Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 374,146 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen