Adakah Perkahwinan Suami Lebih Muda Daripada Isteri Membahagiakan?

 

Tahun baru sudah bermula. Musim orang berkahwin pula semakin subur seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan! Setiap minggu ada sahaja walimah untuk dihadiri, tiap kali melayari Facebook ada sahaja event invitation walimah daripada rakan-rakan, bahkan ada pasangan yang kahwin di Glasgow baru-baru ini! Barakallah saya ucapkan!! Alhamdulillah! Tentu saja hal ini hampir menjejaskan emosi jejaka mahupun gadis yang masih bujang, untuk menjadikan ia sebagai motivasi untuk berusaha ke arah sunnah yang satu ini. Tapi, jangan dilabel sebagai muslimin muslimat gersang pula! Berpada-pada dalam melayan emosi. Sering kita lihat pasangan yang berkahwin, umurnya sebaya. Ataupun yang lelaki lebih tua daripada yang perempuan. Ianya semacam tradisi atau adat kita melayu, meletakkan hukum yang harus bahawa 'lelaki harus mencari pasangan yang lebih muda dari dirinya.'



Persoalan saya; 'Tidak wajarkah jika seorang perempuan itu memilih seorang yang lebih muda sebagai pasangannya?' Saya tinggalkan anda dengan persoalan itu, agar anda dapat memikirkan dengan teliti... Sementara itu, mari kita selami tentang hal 'Perempuan yang lebih berusia daripada pasangan.' Baru-baru ini, saya menghadiri walimah sepupu saya. Sepupu saya itu perempuan, suaminya muda 3 tahun. Tapi, saya lihat mereka secocok. Tiada pula perbezaan rupa yang menandakan sepupu saya itu lebih tua dari suaminya.

Ketika di meja makan, saya terdengar makcik-makcik memberi komen. Jangan salah anggap, ketika saya mengambil makanan, meja yang family saya duduk sudah penuh. Saya sudah terlalu lapar, kebetulan meja di sebelah ada kerusi kosong. Jadi saya memilih untuk duduk di sana, tanpa mengetahui yang saya bukan sahaja disajikan dengan makanan, bahkan telinga saya juga disajikan dengan bahan ' gossip' yang membuatkan saya jauh berfikir dan merasa agak 'panas' walaupun dewan itu dilengkapi dengan penghawa dingin. (Astaghfirullah)



Maaf, mari kita kembali ke topik asal.

'Cantik jugak baju pengantin tu. Tapi macam tak pandai nak pilih warna. Mana masuk hijau dan ungu.'

' You tahu, I baru pergi kenduri kahwin anak Dato' Razak. Curlass (baca:kelas) tauu. Door gift dia cantik sangat. Dia bagi diary! Bukan macam door gift ni. Bagi gula-gula saja.'

Saya yang sedang makan sudah terasa bahang. Malam sebelum itu saya bertungkus lumus membungkus gula gula, mengikat reben untuk dijadikan door gift. Senang sahaja mereka kutuk! Namun saya masih mampu tersenyum kepada dua makcik yang mengalahkan datin itu.

' You tau tak, dia tu lagi tua daripada suami dia.'

'Ye ke???? I dah agak dah. Patut la I tengok macam ada yang tak kena. Puas I fikir. Bila you cakap ni, baru I perasan yang dia nampak tua dari lelaki tu.'

Bila cakap baru nampak tua ye, makcik? Saya menahan sabar.

'Cuba bayangkan bila mereka bergaduh nanti. Yang perempuan mesti kata, 'You tu muda, I ni tua. You kena dengar cakap I.' Kan?'

Apakah pemikiran yang kolot ini???



Sudahnya, saya terus memakai earphone dan memasang lagu sekuat yang boleh. Agar saya tidak hilang sabar dan tidak mendengar benda yang mengarut. Jodoh, adalah di tangan Allah. Allah sudah tuliskan dengan siapa kita akan bersama. Tua, muda, gemuk, kurus, putih, gelap itu semua sudah di tentukan. Pasti Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

' Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah diciptakan bagi kamu dari diri kamu isteri-isteri supaya kamu bersenang-senang kepadanya..' (Ar-Rum : 21).

Perbezaan umur, itu bukan satu perkara yang berat. Malah, saya gagal untuk melihatkan ia sebagai satu masalah. Pernah dengar kata-kata yang sangat popular di barat 'Age is just a number. Sepupu saya itu bezanya hanya tiga tahun. Dalam jarak tiga tahun itu, apa yang membuatkan dia lain dengan suaminya? Perangainya masih lagi keanak-anakan. Jika dilihat, suaminya lebih matang. Ya, suaminya yang lebih muda itu, lebih matang dari sepupu saya. Umur itu hanyalah angka. Apa yang ada pada umur? Umur tidak memainkan peranan yang penting. Apa yang penting adalah kematangan. Akhlak seseorang itu. Karakter seseorang itu yang penting. Jika kata makcik itu tadi kalau mereka bergaduh, sepupu saya yang lebih tua itu menang kerana yang muda perlu mengikut yang tua. Saya rasa pemikiran ini salah!

Sekiranya dia faham tugas dan tempat dia sebagai seorang isteri, dia akan menghormati suaminya. Tidak kira berapa jarak umur pun. Dalam jarak tiga tahun, apa sangatlah perbezaan pada muka yang dapat dilihat. Kalau dilihat dengan teliti pun, memang susah hendak di bezakan yang tua dan yang muda. Kerana jujurnya, ia tidak jauh beza. Adakah anda masih ingat kepada Rasulullah s.a.w dan isteri pertama baginda yang mulia Khadijah? Khadijah jauh lebih tua daripada Rasulullah. 'Rasulullah kahwin dengan Khadijah kerana dia seorang janda. Lagipun, Rasulullah kahwin dengan ramai wanita kerana ingin membantu mereka yang susah.'



Objection! Saya terpaksa membantah.

Pertama, Khadijah sudah kaya raya, Rasulullah sendiri bekerja untuk Khadijah. Dia yang melamar Rasulullah, ini bermakna Khadijah tidak memerlukan bantuan Rasulullah dari segi kewangan. Jika Rasulullah tidak mencintai Khadijah, masakan Aisyah menjadi sangat cemburu, sedangkan dia tidak pernah melihat Khadijah.

Kedua, sunnah Rasulullah berkahwin lebih daripada satu untuk menunjukkan, siapa yang patut menjadi calon isteri yang kedua dan seterusnya. Rasulullah memilih janda yang memang memerlukan seorang pemimpin untuk memimpinnya dan anak-anaknya. Jika dilihat kembali, isteri-isteri Rasulullah semuanya adalah janda yang memang wajar ditolong, bukan seperti kebanyakan kita yang berkahwin kerana terjumpa kekasih lama lah, terjatuh cinta kali kedua lah. Ini sahaja sudah membuktikan bahawa kita lelaki ini tidak setia. Maaf kepada yang tidak berkenaan, bukan semua lelaki begini. Saya percaya ramai lelaki yang baik diluar sana. Alhamdulillah. Saya teringat kata-kata ustaz Ridha ketika Daisuki tahun lepas. Ustaz Ridha berpesan kepada Muslimat, jika kelak para suami menyatakan ingin berkahwin dua, jangan katakan tidak. Setuju sahaja dengan permintaan mereka, tetapi ada satu syarat; Muslimat itu perlu mencarikan jodoh untuk suaminya. Pergilah ke Central Market atau Masjid Jamek. Disana ramai wanita susah yang terpaksa meminta sedekah sambil mendokong anak. Itulah calon madu anda! Nah, mahu atau tidak suami kamu itu meneruskan niatnya untuk berkahwin lagi? Lucu bukan? Tapi sebagai seorang muslimin, saya memang terasa pedih dan terkesan dengan 'jenaka' itu.

Kita lihat kepada panduan untuk memilih calon isteri;

'Maka kahwinilah akan kamu dari perempuan itu yang baik bagi kamu' (An-Nisa : 3).

'Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, kerana agamanya maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung' (Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim).

Kita lihat ciri-ciri yang sudah diberikan dalam Islam. Yang penting adalah agamanya. Tidak pula di tekankan pada umurnya.

'Maka pilihlah pada agama dan umur yang lebih muda dari kamu. Nescaya itu yang terbaik' (Riwayat tidak sahih nasi Bukhari)

Sudah jelas bahawa Islam tidak menetapkan persoalan umur sebagai ukuran, baik kepada lelaki ataupun perempuan. Kerana apa yang membawa kepada kebahagiaan yang hakiki itu bukan pada umurnya, tapi pada agamanya. Kenapa lelaki lebih tua daripada perempuan itu perkara biasa, tetapi perempuan yang lebih tua dari pasangannya dianggap pelik? Ini diskriminasi! Saya sendiri sebagai seorang lelaki tidak menitik beratkan soal umur. Secara jujurnya, saya pernah meminati seorang senior perempuan saya kerana peribadi dan agamanya. Pernah terlintas dihati saya untuk melamar senior saya itu, namun ia hanyalah tinggal kenangan. Maaf, kerana saya tersangat jujur pulak dalam menceritakan hal ini.

Pernah saya ternampak kawan saya update status di Facebook, gambar bersama family kecil mereka. Suami, kawan saya dan dua orang anaknya; Kawan saya berumur 23 tahun, suaminya 22 tahun dan anaknya 1 tahun. Saya terbaca komen 'Patutlah Aiman nampak jauh lebih muda daripada awak, rupanya awak tua setahun dari dia!' Apa sangatlah beza setahun itu. Kalau di ikutkan bezanya tidak sampai setahun. Baru sahaja berapa bulan. Okay, kita buat sedikit calculation. Jika isterinya lahir pada bulan September 1992, suaminya pula lahir pada April 1993, berapa beza umur mereka? Tidak sampai setahun bukan?

Jadi dari mana datangnya perkara karut yang kawan saya nampak 'jauh' lebih tua daripada suaminya? Ramai artis-artis barat yang pasangan lelakinya jauh lebih muda daripada yang tua. Okay, tak payah ambil contoh dari barat. Che' Ta dan Zain bezanya agak jauh. Tapi mereka bahagia bukan? Baik, ambil contoh yang paling terbaik. Rasulullah dan Khadijah! Betapa taatnya Khadijah kepada Rasulullah, sehingga Rasulullah begitu kasih kepada Khadijah. Hingga Khadijah wafat, Rasulullah masih terkenangkan beliau, Rasulullah sangat sedih kerana kehilangan Khadijah. Bagi wanita yang sudah berusia dan berumur serta bekerjaya tidak ada masalah dan tidak ada aibnya bagi mereka menikahi lelaki muda khasnya yang masih belajar disamping dapat memenuhi keperluan fitrah masing-masing mereka juga dapat membantu para pemuda yang baru hendak membina kehidupan atau sedang melanjutkan pengajian. Tiada masalah bukan?

Jadi, anda masih lagi ingin bukti bahawa perbezaan umur itu bukan satu masalah?? Marilah kita sama-sama cuba untuk menghilangkan kepercayaan karut tentang perbezaan usia ini. Percayalah, apa yang akan membawa kepada kebahagiaan itu adalah agama yang indah, akhlak mulia serta peribadi yang menawan.

'Dunia itu ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah' (Hadis sahih, riwayat Muslim no. 3628).

Sekian.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 313,764 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen