Oh, 6 Dugaan Bercinta Dengan Pasangan Di Tempat Kerja Yang Sama.

 

Cinta datang tanpa diduga. Ada yang bertuah menemuinya seawal di bangku sekolah, tidak kurang juga yang baru mengenali kemanisannya sewaktu meniti alam bekerja. Bercinta dengan rakan sekerja, bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat kita. Ramai yang telah bertemu jodoh dengan pasangan sehati sejiwa yang mungkin jauhnya, sedepa cuma. Begitu pun, wajarkah menjalin cinta dari sudut profesionalisme dan apakah komplikasinya pada masa depan kerjaya anda? Sudah jodoh namanya, Maisarah berkasih dengan rakan sepejabat yang berlainan jabatan. Di atas nama cinta, hubungan mereka berakhir di jenjang pelamin. Namun panas tidak sampai ke petang, pasangan ini berpisah beberapa tahun kemudian. Perceraian tersebut mencetuskan masalah interaksi kerana masing-masing tidak profesional apabila tiba kepada soal kerja. Ya, apabila kerjaya dan cinta wujud serentak, keseimbangan sukar ditemui. Hubungan cinta sesama pekerja bukan sahaja sarat dengan dugaan, malah anda juga terikat dengan polisi syarikat yang ketat. Jika tersilap langkah, anda berisiko untuk dipecat atau dipaksa meletakkan jawatan. Justeru apakah jalan terbaik untuk berkasih di pejabat? Garis panduan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif di Dale Carnegie Training, Peter Handal ini mungkin wajar diamalkan.



1. Polisi.

Sebelum status percintaan anda dihebahkan kepada rakan-rakan sekerja lain, pastikan anda telah menyemak polisi pejabat tentang perkara ini. Kebanyakan syarikat besar atau kecil ada menggariskan peraturan yang menghalang perhubungan intim sesama pekerja. Sekiranya terikat dengan peraturan tersebut, tanyakan diri anda dan pasangan sama ada sudah bersedia dengan kesannya kelak. Salah seorang daripada anda mungkin terpaksa ditukar jabatan atau sebagainya.

2. Profesionalisme.

Pisahkan kehidupan sosial dan kerjaya anda secara total. Usah sesekali membiarkan rasa cinta yang berbunga-bunga mempengaruhi kualiti serta kecekapan anda bekerja. Ingat, anda sentiasa diperhatikan oleh majikan jadi buktikan bahawa perasaan yang mencengkam sama sekali tidak menjejaskan prestasi, malah masa depan kerjaya anda. Siapkan tugasan dengan sempurna dan jadikan pasangan yang dicintai sebagai pendorong untuk terus maju.



3. Hierarki.

Pilih pasangan yang memegang pangkat atau jawatan yang sama dengan anda. Cuba elakkan daripada memadu asmara dengan kakitangan atasan atau bawahan. Ini kerana, hubungan yang terjalin boleh membuatkan orang lain tidak senang dengan situasi yang berlaku. Contohnya jika anda bercinta dengan ketua atau senior, anda berisiko untuk dicemburui oleh rakan sekerja yang lain kerana sering mendapat kelebihan berbanding mereka. Anda juga pasti menjadi mangsa gosip jika posisi kerjaya berubah, dinaikkan gaji atau pangkat secara tiba-tiba! Itu juga tidak adil, bukan?

4. Temu janji.

Lumrah pasangan intim, ingin rasanya bertemu selalu. Nah, usah sekali-kali menunjuk kebahagiaan anda berdua di tempat kerja. Kekalkan jarak selamat dan simpan segala rindu dendam sehingga habis waktu bekerja. Jika perlu bermesyuarat, berbincanglah secara profesional dan tidak bersikap berat sebelah. Pastikan temu janji cinta diadakan di lokasi yang jarang dilawati oleh rakan-rakan sekerja yang lain bagi mengelak daripada menjadi buah mulut mereka.



5. Salah guna.

Mungkin ada kalanya, pasangan anda kelihatan mesra dengan rakan wanita yang lain. Walaupun dihimpit cemburu, jangan sesekali meledak dengan memaki-hamun mereka atau memulakan perang saraf seperti kanak-kanak kecil. Simpan perasaan itu sehingga waktu temu janji dan usah sesekali menyalah gunakan kemudahan pejabat seperti e-mel atau telefon untuk tujuan peribadi. Elak daripada mencampuradukkan urusan percintaan pada waktu kerja sehingga boleh dilabel sebagai ‘tidak profesional’.

6. Letak jawatan.

Jikalau anda berdua sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya, cuba dapatkan kerjaya baru. Salah seorang daripada anda mungkin boleh memohon tempat kerja baru ataupun bekerja sahaja dari rumah. Demi masa depan kerjaya yang dicintai serta impian mendirikan mahligai bahagia, inilah pengorbanan terbaik yang wajar dilakukan. Kecualilah jika masing-masing bijak memainkan peranan serta serasi bekerja dalam pasukan.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 467,001 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen