Tidak Ada Gunanya Teruskan Perhubungan Andai Tiada Restu Ibu Bapa.

 

Tidak mendapat restu keluarga kekasih memang menjadi satu masalah dalam sebuah percintaan. Ia boleh mengganggu kelancaran hubungan. Begitu jugalah hubungan aku dan dia. Akibat cinta yang tidak direstui, ia telah membawa impak atau kesan buruk terhadap dunia percintaan kami. Mungkin juga kerana perbezaan taraf kehidupan dan taraf pendidikan telah menjadikan hubungan aku dengan dia tidak kesampaian. Tapi aku reda. Mungkin sudah tersurat yang aku dan dia tidak ditakdirkan untuk hidup bersama.



Mulanya hubungan aku dan dia sekadar adik dan kakak angkat. Mudah kalau aku hanya gelarkan dia 'R'. 'R' lebih tua daripadaku. Beza usia kami empat tahun. Dia bijak mengambil hatiku dan sebab itulah aku terlalu menyayanginya. 'R' juga seorang yang penyabar. Perlakuan dan tutur bicaranya lembut sahaja, membuatkan mana-mana lelaki akan mudah jatuh cinta padanya.

Sungguhpun aku melanjutkan pengajianku di universiti dan 'R' pula memegang jawatan tinggi yang sudah tentunya bergaji besar, kami tetap kerap menghabiskan masa bersama. Soal status tidak menjadi halangan untuk kami berhubungan. Ramai juga rakan-rakan sekolej yang memandang serong terhadapku kerana berkawan dengan wanita yang lebih berusia, tapi aku tidak kisah. Biarlah apa orang nak kata, asalkan aku dan 'R' bahagia.



Hubungan kami yang sudah lebih daripada seorang kakak dan adik telah berjaya dihidu oleh keluarga 'R'. Mereka amat menentang perhubungan kami kerana merasakan aku tidak layak untuk mendampingi 'R' sementelah 'R' seorang wanita yang berjawatan tinggi dan bergaji lumayan. Kata mereka, 'R' lebih layak untuk mendampingi lelaki yang setanding atau lebih berjaya dari dirinya, bukannya dengan diriku yang belajar pun belum habis lagi.

Aku berasa sangat sedih kerana dihina tanpa belas kasihan. Belum pernah aku dimalukan sebegitu rupa. Berminggu-minggu aku merajuk dengan 'R'. Segala panggilan telefon, Whatsapp dan e-mel tidak ku layan. Aku rasa sangat marah dengan tindakan yang dilakukan oleh keluarga 'R' sedangkan aku tahu yang 'R' tidak bersalah dalam hal ini. Berdosanya aku menghukum 'R' sebegitu, tetapi amarahku mengatasi segalanya.

Sekeras-keras hati seorang lelaki apabila dipujuk oleh si pengarang jantung, akhirnya akan lembut juga. Sungguh, tidak sanggup rasanya aku melihat air mata 'R' berterusan mengalir. Hubungan kami akhirnya diteruskan seperti sediakala sehinggalah pada suatu hari ketika aku dan 'R' bertemu di sebuah restoran, kami telah terserempak dengan ibu dan bapa 'R'. Aku telah ditampar oleh bapa 'R' kerana keluar dengan 'R' sedangkan 'R' telah berjanji untuk tidak bertemu denganku lagi.



Rupa-rupanya, 'R' telah ditunangkan dengan anak kenalan bapanya. Meskipun 'R' enggan bertunang dengan lelaki tersebut, 'R' tiada pilihan lain. Sejak peristiwa itu, aku mula menjauhkan diri dari 'R'. Aku nekad untuk memutuskan perhubungan ini kerana tidak nampak 'jalan' untuk kami berdua bersatu. Nampaknya, cinta semata-mata tidak memadai atau mencukupi untuk menghadapi sebuah perhubungan yang penuh dengan onak dan duri. Aku berpendapat bahawa tiada gunanya aku meneruskan perhubungan ini jika sering disumpah seranah oleh pihak keluarga 'R' yang memandang rendah pada diriku.

Biarpun di dadaku hanya ada kamu, tetapi cinta bukanlah segala-galanya. Kita tidak boleh korbankan semuanya hanya kerana cinta. Aku mula belajar menerima kenyataan bahawa cinta yang sudah dipertahankan dengan sepenuh hati tetapi tetap tidak mendapat restu perlu dilepaskan pergi. Aku percaya masih ada cinta lain yang boleh aku sandarkan kasih sayang.

Buat 'R', jika kamu membaca coretanku ini, ikhlas yang aku sudah memaafkanmu. Bukan salah sesiapa. Hanya kita tiada jodoh untuk hidup bersama. Anggap sahajalah aku sebagai adikmu. Saat-saat indah ketika bersamamu tidak pernah ku lupa sehingga ke hari ini walaupun memori cinta luka itu sudah hampir tiga tahun berlalu. Ku doakan moga kau bahagia bersama si dia.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 473,669 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen