Inilah Dosa-Dosa Yang Menghalang Anda Bertemu Jodoh. Masih Belum Terlambat Untuk Berubah.

 

Allah SWT telah menetapkan beberapa perkara dalam hidup setiap manusia seperti maut, rezeki dan juga jodoh. Namun tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui setiap takdir itu kerana ianya bersifat rahsia.

Sebagai contoh, sesetengah hubungan yang pernah dibina bertahun-tahun lama namun apabila sudah tertulis bukan jodohnya maka terkandas jua. Berbeza pula dengan mereka yang langsung tidak pernah bersua muka namun apabila sudah tertulis jodoh buat mereka akhirnya berkahwin jua. Ada juga yang merancang sehabis baik tetapi maut yang memisahkan mereka. Semua itu sudah tertulis akan takdirnya.

Dalam soal pemilihan jodoh ada yang mudah dan ada yang sulit. Namun secara hakikatnya, selain kehendak Allah ada juga peranan kita apabila masih terdapat dosa yang menghalang kita dari dipertemukan jodoh oleh-Nya. Teruskan membaca artikel ini.



1. Perbuatan Syirik.

Umum sudah mengetahui bahawa perbuatan syirik merupakan perbuatan yang berdosa besar. Syirik bermaksud menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan af’alnya.

Sebagai contoh, apabila berdepan dengan kelewatan dalam bertemu jodoh, mereka meminta pertolongan daripada bomoh, tukang tilik dan sebagainya. Malah ada juga yang mengamalkan sesuatu perkara yang tidak tertulis dalam dalil Al Quran mahupun sunnah Rasul-Nya. Dengan melakukan perkara ini, seseorang itu benar-benar tersesat dari jalan yang lurus.

Allah SWT berfirman:

Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar (Luqman:13)

Apa yang harus mereka lakukan adalah dengan memperbaiki hubungan dengan Allah dengan memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya.



2. Meninggalkan Solat.

Manusia diwajibkan untuk beribadah (solat) kepada Allah SWT.

“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah ayat 21)

Solat merupakan ibadah umat Islam yang tidak boleh ditinggalkan walau sedikit pun. Dengan meninggalkan ataupun jarang menunaikan solat, ianya juga merupakan salah satu penyebab kenapa Allah tidak memakbulkan permintaan hamba-Nya. Lebih-lebih lagi dalam soal jodoh.

Selain meninggalkan solat, mereka yang sering menunda-nunda solat hingga ke akhir waktu itu juga harus mengubah sikap ini. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan urusan duniawi sehingga membuatkan manusia lupa akan ibadah wajib. Maka tidak hairanlah sekiranya Allah tidak mengutamakan doa-doa yang dipanjatkan orang tersebut termasuk dalam soal jodoh.



3. Melakukan Zina.

Mereka sering menyalahkan akan takdir ilahi apabila sering berdepan dengan ujian dan cabaran hidup. Walhal mereka tidak sedar dengan setiap tindakan mereka yang berterusan melakukan perbuatan zina. Zina adalah salah satu perbuatan keji yang dibenci oleh Allah SWT. Dengan kata lain, melakukan zina akan membuat hubungan manusia dengan Tuhannya menjadi rosak sehingga urusan jodoh pun akan terhalang kerana dosa tersebut.

Sekiranya anda pernah melakukan zina, segeralah bertaubat yang bersungguh-sungguh pada Allah dan memohon ampun atas perbuatan itu. Dengan izin dan sifat-Nya yang Maha Pengampun, Allah akan menerima taubat seseorang yang ikhlas dan tidak akan mengulangi kesalahannya.



4. Dosa Yang Dilakukan Pada Kedua-Dua Orang Tua.

Ibu dan bapa menjadi sebab hadirnya kita ke muka bumi ini. Dengan melakukan dosa terhadap kedua-duanya ataupun salah satu daripadanya maka Allah akan murka dan menutup segala sumber rezeki. Sumber rezeki yang dimaksudkan itu juga termasuk dengan ‘jodoh’. Hal ini kerana keredaan ibu bapa adalah sangat penting. Tanpa reda ibu bapa, Allah juga tidak akan membantu hamba-Nya.

5. Memutuskan Hubungan Silaturrahim.

Hubungan silaturrahim perlu dipandang sebagai elemen penting dalam usaha membina hubungan dengan Allah. Ia sama juga seperti restu Allah bergantung kepada restu kedua-dua ibu bapa. Namun mengekalkan hubungan silaturrahim sesama manusia juga akan mempermudahkan kita dalam mendapatkan rezeki berupa jodoh. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikan antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya mendapat rahmat". (Surah Al-Hujurat ayat 10)

Oleh itu, sebagai manusia, jangan sesekali cuba untuk memutuskan hubungan silaturrahim antara sesama manusia.



Kesimpulan.

Dengan mengelakkan daripada terjadinya 5 perkara di atas, kita semua disarankan supaya sentiasa melakukan perubahan ke arah yang terbaik. Sekiranya anda tidak mempunyai perkara-perkara di atas tetapi masih juga tidak dipertemukan jodoh, teruskanlah berusaha dan berdoa. Semoga setiap doa dan permintaan kita dikabulkan oleh yang Maha Esa.

 

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 492,865 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen