Setiap Pasangan Perlu Dapat Layanan Sentuhan Hati Yang Baik Untuk Buahkan Hubungan Manis.

 

Sepertimana yang telah kita sedia maklum bahawa, Rasulullah SAW adalah seorang insan yang hebat dan baginda juga memikul amanah-amanah besar yang lain. Bermula dari Imam solat sehinggalah memimpin tentera Islam dalam peperangan dan pada masa yang sama baginda sendiri merupakan Ketua Negara Madinah. Malah baginda adalah pemimpin hebat dalam rumah tangga serta orang yang paling baik ke atas keluarganya.



Sesibuk mana sekalipun, Rasulullah SAW pasti akan ada masa untuk bergurau dan berbual-bual dengan isteri serta ahli keluarganya. Daripada terapi inilah, baginda dapat mengetahui keadaan sebenar yang dilalui oleh keluarganya dalam kehidupan seharian. Hal ini amat berbeza dengan suasana kita pada hari ini. Boleh jadi ia sudah sepi daripada teguran dan pergaulan mesra yang sepatutnya diterapkan setiap masa.



Kesibukan yang kita lalui saban hari, ada kalanya tidak memungkinkan kita untuk berkomunikasi dengan pasangan secara mendalam walaupun tinggal sebumbung. Hal ini amat ketara dan boleh dilihat, apabila kedua-dua pihak suami mahupun isteri yang berkerjaya di luar rumah tetapi apabila pulang sahaja masing-masing akan menarik bantal sendiri. Ada juga setelah selesai pekerjaan maka aktiviti seterusnya akan disambung di rumah seperti menguruskan anak-anak, mengemas, menyediakan juadah dan lain-lain. Malah ada yang lebih malang, apabila sering kali membawa pulang tugasan kerja untuk disiapkan.



Mungkin hal ini tidak berlaku kepada semua orang, akan tetapi kita juga tidak menafikan bahawa keadaan ini sedang berlaku kepada sesetengah orang. Apabila kurangnya masa eksklusif untuk duduk bincang bersama, maka keharmonian dalam rumah tangga yang dibina sedikit demi sedikit akan kian pudar. Carilah waktu yang boleh diluangkan bersama agar kita tidak hanya sibuk dengan dunia sendiri yang tiada penghujungnya.

'Menurut satu kajian, pasangan suami isteri pada hari ini hanya berkomunikasi secara bersemuka sekitar 20% hingga 25% sahaja dalam sehari. Manakala lima peratus hanya ber 'SMS' sahaja atau bertelefon bimbit. Bakinya pula sekadar menggunakan bahasa badan atau mereka saling memahami akibat kekangan kesibukan. Walau bagaimanapun menurut kajian itu, perbualan mereka hanya berkisar mengenai soal yang perlu sahaja seperti urusan anak-anak, pembelajaran dan perbelanjaan tanpa bertanyakan keadaan pasangan masing-masing. Ini mungkin kerana sudah setiap hari berjumpa dan melihat soal kesihatan daripada luaran sahaja tanpa melihat soal hati dan perasaan.' Petikan daripada buku Santuni Isterimu Sehebat Rasulullah SAW.



Suami perlu melayani isteri dengan cara yang paling baik. Isteri bukan untuk diperhambakan sesuka hati oleh suami. Sehingga dilakukan perkara yang boleh membahayakan dirinya. Sebaliknya isteri itu seumpama rakan kongsi yang saling melengkapi bahagian yang kurang ke atas diri suami. Hal ini amat bertepatan dengan firman Allah, 'Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.' Al-Taubah: 71.

Adakah hanya cukup segala keperluan yang kita sediakan untuk pasangan seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan, kenderaan dan tempat tinggal tanpa adanya sentuhan hati dan perasaan? Sering kali lidah hanya memuji kecantikan pasangan apabila melihatnya, tetapi pernahkah terbit di hati kita bahawa mungkin ada luka serta duka di sebaliknya. Sentuhan hati dan perasaan ini amat penting kerana ia akan membuahkan hubungan yang lebih manis dan nikmat walaupun sering kali dibanjiri dengan kesulitan. Semoga setiap luka itu cepat diubati dan tidak meninggalkan kesan yang boleh diingati kembali.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 474,499 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen