Guideline Ketika Tempoh Bertunang.

 

Bertunang adalah salah satu proses yang wujud dalam syariat Islam. Hukumnya adalah sunat. Ia terjadi apabila hasrat seorang lelaki untuk menjadikan seorang wanita sebagai isterinya disambut oleh wanita tersebut ataupun walinya. Maka, apabila sah menjadi tunangan, wanita tersebut tidak boleh lagi dipinang oleh orang lain. Mungkin asas tersebut sudah ramai yang tahu.



Cuma ramai orang terlepas pandang tentang apa yang berlaku seusai proses pertunangan tersebut. Kita tahu, jika seorang lelaki hendak melamar, dia diharuskan untuk tengok wanita yang hendak dilamarnya. Apabila wanita tersebut sudah bergelar tunangannya pula, dia boleh berkenalan dengan wanita tersebut beserta keluarganya. Itu antara hikmah pertunangan ; sebagai proses menuju perkahwinan yang sejahtera.

Bab perkenalan itulah ramai orang terlepas pandang. Mungkin sebab tidak dititkberatkan. Maka banyak jugalah berlaku kerosakan pemuda dan pemudi Islam yang berada dalam fatrah pertunangan kononnya atas nama ‘berkenalan’.

Jadi saya cuba tuliskan sedikit guideline atau panduan untuk perhubungan sewaktu tempoh pertunangan. Harapnya, ia mampu menarik mana-mana yang telah terlanjur ke depan dan mampu menyuntik keberanian kepada mana-mana yang masih tidak tahu cara berhubungan.

Ok,kita mulakan.



Pertama : Nothing change.

Apa maksudnya? Maksudnya, apabila anda dan dia bertunang, tidak ada apa-apa yang berubah. Baik dari segi siapa dia, cara bercakap dengan dia, cara memandang dia dan sebagainya. Dia tetap lelaki ajnabi dan dia tetap perempuan ajnabi. Maka layanan anda kepadanya juga mesti sebagai ajnabi. Macam anda berkomunikasi dengan pakcik teksi, abang jual top-up kat kedai dan tukang kebun di sekolah. Apa yang berbeza cuma anda dan dia ada janji untuk berkahwin, itu sahaja.

Kedua : Pemfokusan.

Apa hikmah anda sebagai wanita haram dipinang lagi selepas anda menerima pinangan seorang lelaki? Antara hikmahnya, Islam mahu mendidik anda supaya fokus. Buat satu-satu biar selesai satu-satu. Bertunang bukan sekadar soal ‘reserve’ semata-mata. Ia soal penyatupaduan usaha untuk menjayakan sebuah akad nikah. Mahu merealisasikan itu bukan senang, perlu kepada pemfokusan gerak kerja. Jadi, untuk berhubung antara satu sama lain, janganlah lari fokus. Soalan-soalan seperti tadi datang program tak? saya tak nampak awak pun atau awak dah makan ke? makan apa? itu semua agak jauh dari titik fokus yang sebenar.

Ketiga : Manusiawi.

Apa yang saya maksudkan di sini adalah layanan kepada satu sama lain ketika berhubungan mestilah seperti melayan manusia, bukan robot. Banyak terjadi, apabila satu pihak ‘terlalu menjaga’ maka dia menjadi robot dan bukan lagi manusia. Mana ada manusia suka berkomunikasi dengan robot, apatah lagi yang berlakon sebagai robot itu adalah tunangannya. Jadi jangan jadi robot, jadilah manusia. Caranya mudah, anda sebagai wanita contohnya, ketika anda pergi kedai top-up dan meminta brader kedai tersebut memasukkan top-up ke dalam telefon bimbit anda, adakah anda berinteraksi dengan brader itu sebagai manusia atau robot?

Anda akan berinteraksi sebagaimana manusia biasa, bukan? Kalau perlu senyum, anda senyum. Kalau perlu jawab apa brader tu tanya, anda jawab. Kalau perlu bertanya, anda bertanya. Tapi adakah perlu untuk anda berbalas jelingan mata dengan brader tersebut? Tak perlu. Adakah perlu anda duduk melayan brader tersebut berbual-bual? Juga tidak perlu. Jadi kena faham, anda bukan perlu menjadi tegas seperti robot, sebaliknya anda perlu menjadi manusia yang tegas.



Keempat : Sms, email, calling.

Saya faham, part ini paling ramai yang kalah. Tambah-tambah kalau dapat kredit free, memang susah nak tahan tangan dari mesej atau call orang yang selalu di ingatan. Tambah menyulitkan keadaan, apabila mahu berhubung tetapi tidak ada apa-apa perkara penting untuk dicakapkan. Maka diperah jualah otak mereka-reka ‘perkara penting’ barang sepatah dua, kemudian meleret-leretlah kepada segala benda yang tidak penting. Akhirnya, dua-dua lalai leka.

Jadi dalam hal ini, tidak dapat tidak kedua-dua pasangan mesti menjadi tegas. Patutnya, lelakilah yang memainkan peranan menegakkan ketegasan tersebut. Tetapi realitinya, ramai lelaki yang tidak menjadi tegas manakala yang wanita pula terkial-kial mempertahankan ketegasan. Sudahlah wanita itu sifatnya mudah cair, lelaki pula tidak memainkan peranan sebagai ‘pemimpin’ yang amanah dengan baik.

Soal medium berhubung ini, ianya halal dan hukum asalnya harus semata-mata. Tetapi ia boleh menjadi haram bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya. Justeru, amalkan tips berikut ketika berhubung :

  • Banyakkan isi, kurangkan bunga. Sekadar ayat pemanis bicara sikit-skit, tanya khabar, itu ok. Tapi selepas itu mesti terus kepada isi. Biar isinya banyak. Kalau mahu bincang, biar perbualan itu benar-benar berbentuk perbincangan.
  • Tak perlu berjenaka. Berjenaka biasanya untuk mengendurkan suasana. Tetapi sebaiknya anda mengambil sikap pertengahan, iaitu mewujudkan suasana perbualan yang tidak terlalu tegang dan tidak terlalu kendur. Kadang-kadang, jenaka mengundang padah. Boleh menghilangkan batas-batas ketegasan yang cuba dijaga. Jadi masing-masing pujuklah hati ; simpan dulu jenaka itu untuk kemudian hari. Itu lebih manis.
  • Jaga masa. Ada sesetengah lelaki, tengah malam baru nak contact. Konon tak boleh tidur, konon itu dan ini. Jadi dalam keadaan tersebut, wanitalah yang perlu bertegas dan berkeras. Jangan bagi muka. Berhubung ‘di luar waktu’ apatah lagi dalam suasana yang sunyi sepi, memang ibarat anda berdiri di mulut syaitan. Bila-bila masa boleh kena telan.
  • Jangan berkhalwat. Nabi s.a.w sebut : tidak berdua-duaan lelaki dan wanita melainkan syaitan adalah yang ketiga. Ini bukan berlaku di alam nyata sahaja, bahkan juga di alam maya. Chatting atau calling, biar ketika benar-benar perlu dan penting. Selesai urusan, segera tinggalkan ruang tersebut.

Kelima : Rapati ibu bapa.

Banyak terjadi, perempuan apabila sudah bergelar tunangan orang, dia cenderung merapati si lelaki berbanding ibu bapanya sendiri. Ini silap. Kena faham dengan baik, bahawa tanggungjawab dan ketaatan hanya berpindah dengan akad, bukan dengan bertunang. Jadi sebagai anak gadis, anda perlu kekal sepertimana sebelum menjadi tunangan orang. Apa-apa perkara, ibu bapa mesti menjadi yang utama, bukan tunang.

Sebab itu dalam banyak-banyak kes, pernikahan menjadi susah. Antara sebabnya adalah, si gadis lebih sibuk dengan si tunang berbanding berbincang atau memujuk ibu bapanya, manakala si lelaki pula langsung tidak berusaha untuk memujuk ibu bapa gadis tersebut untuk menyegerakan pernikahan.

Orang perempuan kena faham, susah mahu berjumpa lelaki yang benar-benar berani dan gentleman. Yang sanggup melamar terus kepada ibu bapanya dan sanggup bersemuka sendiri memujuk supaya dipercepatkan pernikahan. Lebih-lebih lagi kalau masih belajar. Dengar sahaja dari mulut si gadis bahawa ayahnya tidak bagi kahwin masa belajar, terus menjadi gerun. Apabila disuruh oleh si gadis untuk menghubungi ayahnya dan berbincang, pelbagai alasan diberi. Hakikatnya, dia tidak bersedia dan tidak berani bersemuka.

Itu masih ok. Apa yang tidak ok adalah si lelaki asyik mahu merapai si gadis sepanjang tempoh pertunangan. Perkara yang penting dijadikan tidak penting. Perkara yang tidak penting pula dijadikan penting. Bab-bab memujuk keluarga, membina hujah dan sebagainya, tidak berminat untuk dibincangkan. Sebaliknya bab-bab sakit kepala, saya banyak masalah, awak tak memahami saya, saya rasa kesepian dan segala yang lain dijadikan sebagai topik utama perbincangan.

Jadi bagaimana? Dalam keadaan tersebut, kiranya si gadis pun lentok dan terikut-ikut dengan pembawakan si lelaki, maka berpestalah para syaitan atas kejayaan usaha mereka.



Keenam : Prinsip diri dan jaga hati tunang, mana satu?

Saya kira, dilema ini dikongsi oleh sebilangan besar anak gadis di luar sana terutama yang bergelar tunangan orang tetapi masih kabur dengan pernikahan. Si gadis mahu bertegas dengan prinsip. Iaitu sebagaimana prinsip-prinsip yang saya senaraikan di atas. Apabila berhubung, dia tidak berlebihan. Sekadarnya sahaja. Memberi fokus pada yang penting dan sebagainya.

Tetapi apa yang menjadi masalah, si lelaki ‘tidak senang’ dengan keadaan tersebut. Dia merasakan dirinya sebagai tunang perlu menerima ‘layanan’ yang lebih istimewa. Janganlah terlalu tegas. Sesekali, mahu juga berkongsi rasa, melayan bicara, membuai jiwa. Si gadis pantang menyerah. Tidak dilayan dan buat tak faham. Akhirnya? Si lelaki merasa jemu dan mahu putus.

Sudah tentulah si gadis akan bersedih hati. Namun adakah perlu dikorbankan prinsipnya?

Saya jawab : Tempoh pertunangan itu tempoh perkenalan. Berkenalan kat situ, bukan maksudnya dia kena kenal saudari yang cantik, menarik, menawan, pandai ambil hati, menyejukkan jiwa, penyayang dan sebagainya. TIDAK SAMA SEKALI. Apa yang dia kena kenal adalah, keluarga saudari, perancangan hidup saudari, masalah-masalah yang saudari hadapi untuk berkahwin dan apakah watak-watak yang disukai atau tidak disukai oleh saudari. Sebab apa? Sebab dia kenal saudari sebagai TUNANG, bukan ISTERI. Kalau dia kenal sebagai isteri, ya, saudari boleh kenalkan diri saudari yang penyayang, manja, menggoda dan sebagainya. Jelas?

Jadi bila saudari ‘memperkenalkan’ diri saudari sebagai seorang yang tegas dan berprinsip, kemudian si lelaki tersebut menolak, maka saudari tidak perlulah bersedih. Saudari tidak kehilangan dia, sebaliknya dia yang kehilangan saudari.

Dan diri saudari yang MAHAL itu hanya layak dikenali oleh lelaki yang jujur, amanah dan benar-benar bertanggungjawab. Pasti dan pasti, lelaki jenis itu tidak akan berkecil hati dengan ketegasan saudari sebaliknya dia akan bersyukur kerana tunangnya membantunya menjaga iman dalam diri.

Saya kongsikan satu status di facebook saya pada 12 Januari yang lalu :

"Sedari,

cara untuk tolong sedara yang minat sedari tu,
bukan dengan menadah riba membentang jiwa memberi muka,
caranya adalah dengan membenteng ketegasan dan jangan layan bila dia start merepek.

Dia mungkin akan kata saudari syadid, tak kesian kat dia, tak memahami dia, ‘tak sayang’ kat dia,
tapi hakikatnya, itulah cara sebenar membuktikan rasa sayang.

Dia mungkin akan kata saudari zalim dan kejam,
tapi hakikatnya, saudari ‘bantu’ dia untuk masuk perangkap syaitan itu lebih zalim bin kejam.

Jadi jangan mudah kena tipu sangat.
Bertegas hari ini, kemanisan hari esok, ingat tu."

MOTIVASI.

Ingatlah, apa sekalipun yang kita tempuh dalam hidup ini, termasuklah pertunangan, semuanya berlaku atas landasan takdir Allah Ta’ala. Jangan sesekali bimbang dengan jodoh sehingga anda membutakan hati dari menilai mana kaca mana permata. Memilih yang haq sama sekali tidak akan menjadikan anda rugi. Jangan bimbang ditolak, jangan takut pertunangan itu terputus, kerana hakikatnya anda ada Allah yang tidak pernah meninggalkan anda.

Firman Allah Ta’ala :

Maksudnya : Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk bagi kamu, dan Allah Maha Tahu sedangkan kamu tidak mengetahui. [ Al-Baqarah : 216 ]

Jika sekarang anda bergelar tunangan orang, maka segerakanlah pernikahan. Jika tidak mampu, maka janganlah berhubungan. Biarlah sekadar ada hubungan. Banyak kerosakan berlaku dalam pertunangan disebabkan masalah tidak menjaga perhubungan. Maka sebagaimana anda bertunang kerana Allah dan mahu menuju pernikahan kerana Allah, begitu jugalah anda mesti menggantungkan usaha-usaha dalam fatrah bertunang dengan taqwa kepada Allah.

Sekadar itu perkongsian saya sebagai panduan anda yang sedang bertunang. Sama-sama jaga iman dan jangan leka dari tipudaya syaitan.

Sekian.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 332,896 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen