Sukarkah Mencari Jodoh?

 

Dahulu telah kita bincangkan beberapa faktor penyumbang sukar mendapat jodoh. Hakikatnya, semua itu berlaku atas aturan dan kehendak Allah SWT jua yang pasti terselit seribu satu hikmah di sebalik ketentuan-Nya.



Fobia Bercinta.
 
Seseorang yang mempunyai kenangan pahit dalam bercinta mungkin berasa serik untuk bercinta dan fobia untuk bercinta lagi. Kekecewaan yang pernah menimpa diri menjadi parut psikologi yang sukar untuk disembuhkan.
 
Hakikatnya, cinta manusia memang cinta sementara yang sering mengecewakan. Cinta Allah SWT jua adalah cinta hakiki yang tidak mengecewakan. Namun sebagai manusia, kita dituntut untuk berkasih sayang sesama manusia. Malah perkahwinan yang menjalinkan dua hati menjadi sunnah utusan Allah SWT.
 
Oleh sebab itu, perasaan hati kita tidak sepatutnya dibiarkan menguasai diri. Setiap kejadian yang pernah menimpa diri, jadikanlah sebagai pengajaran dan pengalaman yang berharga untuk lebih mematangkan diri kita ketika berhadapan dengan hidup yang pastinya lebih mencabar.
 
Anggaplah setiap pengalaman pahit yang kita alami sebagai salah satu cara Allah SWT mendidik kita untuk menjadi lebih gigih dan berjaya.



Sifat Negatif Bertakhta Dalam Diri.
 
Orang yang tidak tahu mengguruskan hidupnya dengan seimbang akan diragui oleh bakal pasangannya mengenai kemampuannya untuk menguruskan rumah tangga. Akibatnya, lambatlah dia bertemu jodoh. Selagi mana dia tidak cuba menguruskan kehidupannya dengan baik, seimbang dan tersusun, selagi itulah dia lambat bertemu jodoh.
 
Bukan itu sahaja, seseorang yang bekerja kuat sehingga tidak bersosial juga akan lambat bertemu jodoh. Selain itu, seseorang yang kuat melepak juga lambat menemui pasangan hidup. Biasanya contoh yang diberikan ini adalah sindrom kehidupan orang bujang.
 
Banyak Meminta Kurang Memberi.
 
Kalau kita membantu ramai orang untuk mencapai matlamat mereka, Allah SWT akan membantu kita untuk mencapai matlamat kita. Allah SWT tidak akan mensia-siakan dan tidak mengecewakan orang yang suka memberi kepada orang yang memerlukan.
 
Saidatina Khadijah RA berkata ketika menenangkan Rasulullah SAW:-
 
“Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali. Sesungguhnya engkau bersilaturahim, menghubungi keluarga dan mengangkat beban berat, memberi makan kepada orang yang tidak mempunyai makanan dan memberi (menghormati) tetamu serta menolong orang yang menderita.”
Tidak Istiqamah Dalam Menjalinkan Hubungan.
 
Seseorang yang sering bertukar-tukar pasangan kekasih juga sukar untuk bertemu jodoh. Sikap sebegini sebenarnya sifat suka mempermainkan perasaan orang lain. Apabila berkenan dengan seseorang, dia akan mendekatinya tetapi apabila ada orang lain yang lebih memikat hatinya, dia akan beralih arah kepada orang itu pula.
 
Kekecewaan yang diberikan kepada bekas pasanganya menyebabkan hidupnya tidak diberkati. Malah Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa doa orang yang teraniaya makbul. Oleh sebab itu, seseorang yang ingin mudah bertemu jodoh hendaklah sentiasa menghargai dan menghormati bakal jodohnya dan jangan terlalu mudah untuk meninggalkannya.
 
Pertahankan sebaik mungkin perasaan cinta yang berputik di hati agar masing-masing boleh selamat eniti hari menuju ke hari yang menghalalkan percintaan itu. Namun perlu difahami, mempertahankan cinta itu mestilah sesuai denganlandasan syariat tanpa dinodai oleh nafsu dan syahwat.


 
Tidak Sabar.
 
Sifat tidak sabar boleh merendahkan kewibawaan kita untuk dijadikan bakal pasangan. Contohnya, sifat tidak sabar mendorong kita sehingga menyentuh pasangan atau berpegangan tangan. Tidak keterlaluan dikatakan, itulah perspektif remaja hari ini tentang cinta. Lantas menjerumuskan mereka ke lembah maksiat dan noda. 
 
Sekotor itukah cinta?
 
Cinta yang berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata sehingga tidak sabar melakukan perkara di luar batas syariat adalah cinta yang jijik dan hina. Cinta itu hakikatnya suci dan indah. Manusialah yang mengotorinya dengan calitan nafsu dan syahwat.
 
Islam sebagai agama yang indah tidak pernah memusuhi cinta malah Islam sentiasa menyeru umatnya untuk saling mencintai dan menyayangi. Cinta bertambah indah dan suci apabila Islam memagarinya dengan batas syariat.
 
Cinta yang didasari tuntutan fitrah tanpa dicabul oleh hawa nafsu syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman kepada Allah SWT.
 
Restu Ibu Bapa.
 
Menurut Islam, persetujuan antara kedua-dua pihak merupakan perkara asas iaitu persetujuan calon suami dan isteri. Sementara itu, kedua-dua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun orang tua.
 
Oleh sebab itu, jika anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung pada restu orang tua. Begitu juga halnya jika perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung pada restu kedua-dua belah pihak orang tua.
 
Restu ibu bapa sangat penting kerana tanpa restu mereka ia membawa malapetaka dan bencana. Kebanyakan penceraian yang berlaku boleh dikaitkan dengan ketiadaan restu ibu bapa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
 
“Redha Allah terletak pada redha ibu bapa dan kemurkaan-Nya terletak pada kemurkaan kedua-duanya (ibu bapa)” (HR al-Tabarani)
 
Namun begitu, ibu bapa yang mencari dan memilih jodoh untuk anak-anak mereka sebaik-baiknya melangsungkan perkahwinan atas persetujuan anak.



Tidak Nampak Keperluan Untuk Berumah Tangga.
 
Ada manusia yang kononnya mahu hidup dan berfikir untuk diri sendiri sahaja. Mereka mahu hidup dan bekerja untuk dirinya sendiri, tanpa mahu “diganggu” oleh kehadiran orang lain. Mereka tergolong dalam golongan seperti ini, jika mereka meninggal dunia, tiada sesiapa yang akan merasa kehilangannya dan tiada anak yang akan mendoakan kesejahteraannya di alam barzakh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-
 
“Hai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan-Mu yang telah menciptakan kamu daripada seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya. Dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (surah al-Nisa’, 4:1)
 
Wallahua'lam.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 315,442 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen