Kenapa Sukar Mencari Jodoh.

 

Jodoh pertemuan urusan Allah SWT. Murnikan niat dan terus berikhtiar merupakan kewajipan insan, muhasabah dan perbaikilah kelemahan agar pasanganmu Allah SWT dekatkan segera. Tajuk hangat yang sering menjadi topik perbualan dalam kalangan kita ialah soal jodoh. Aspek yang paling popular antara titik bengik ialah kenapa sukar mencari jodoh.

Antara faktor yang utama ialah:-



1. Jodoh belum sampai.

Sejak azali lagi Allah SWT telah mentakdirkan urusan hidup, jodoh pertemuan dan kematian kita. Kesukaran mencari jodoh selepas puas berusaha mungkin kerana belum sampai masanya untuk kita bertemu jodoh dalam perkiraan Allah SWT. Kita hendaklah berbaik sangka dengan Allah SWT dalam hal ini dan jangan sesekali berputus asa untuk terus berusaha.

Ada berpendapat yang mengatakan bahawa:-

“Jodoh di tangan Allah, tetapi manusia terus berikhtiar dan memilihnya.”

Pendapat ini baik namun masih belum sempurna. Masalahnya terletak pada sudut ikhtiar untuk mencari dan memilih jodoh.

“Jodoh di tangan Allah dan manusia berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah.”

Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh.

2. Cara tepat memahami qadak dan qadar.

Syed Sabiq dalam kitabnya al-Aqa’id al-Islamiyyah menulis, Imam al-Khattabi menukilkan:-

“Ramai orang mengira qadak dan qadar itu sebagai pemaksaan Allah ke atas hamba-Nya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandagan seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang berlaku berhubung semua perkara. Pengetahuan Allah berkenaan sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”



Hal ini dikiaskan dengan senario berikut:-

Senario I: Di sebuah hospital

Doktor: Hari ini ke berapa kamu demam?

Aminah: Dah masuk hari ketujuh, doktor. Saya demam dan sering pula sakit perut.

Doktor: Saya dapati kamu menghidap radang apendiks. Nampaknya kamu perlu dibedah.

Suami: Doktor, check betul-betul dulu.

Doktor: Ini berdasarkan ilmu dan penelitian saya. Isteri encik perlu dibedah.

Suami: Kena bedah? Kalau apa-apa berlaku kepada dia, saya takkan maafkan doktor!

Pembedahan dijalankan.

Doktor: Setelah melakukan pembedahan, memang benar apendiks isteri encik sudah bernanah dan sudahpun dibuang. Alhamdulillah, dia pun selamat.

Persoalannnya, bolehkah kita menghukum pakar bedah itu sebagai penyebab Aminah yang menghidap penyakit apendiks semata-mata kerana beliau mendiagnosis dengan tepat? Sudah tentu tidak. Bagaimana jika diagnosis tidak tepat? Diagnosisnya tidak tepat kerana ilmunya tidak menjangkau ketetapan Allah SWT.

Demikianlah Allah SWT yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Pengetahuan-Nya yang tanpa batas bukan bermaksud pemaksaan ke atas hamba-hamba-Nya. Dalam senario ini doktor boleh membuat diagnosis tetapi Allah SWT telah menetapkan ketentuannya.



Senario II: Dalam satu pertandingan mencari harta karun.

Dalam senario ini, Allah SWT telah menetapkan sama ada pemuda itu berjumpa dengan harta karun atau tidak. Pemuda tersebut tidak tahu apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kerana itu hanya rahsia (ilmu) Allah SWT. Tetapi dia tetap percaya bahawa dia akan menjumpainya. Setelah berusaha menggunakan segala kepakaran dan ilmu yang dia ada, terdapat dua kemungkinan berikut:-

Pemuda berjumpa harta karun.

Jika Allah SWT telah menetapkan bahawa dia akan menemui harta karun itu, maka Allah SWT telah mengqadarkan (menunaikan) ketetapannya.

Jika Allah SWT memang menetapkan bahawa dia tidak berjumpa harta karun itu bermakna Allah SWT telah mengubah qadak (ketentuan) asalnya kerana dia telah berusaha.

Pemuda tidak berjumpa harta karun.

Jika Allah SWT telah menetapkan (qadak) bahawa dia akan berjumpa harta karun itu, ini bermakna pemuda itu belum berusaha bersungguh-sungguh.

Jika Allah SWT telah menetapkan bahawa dia tidak berjumpa dengan harta karun, ini bermakna Allah SWT telah mengqadarkan (menunaikan) ketetapan qadak-Nya.

3. Hati tidak fokus.

Fokus adalah doa. Jodoh tidak akan sampai jika kita asyik fokus pada benda lain. Contohnya, seseorang yang terlalu memikirkan kerjaya, lalu siang dan malamnya difokuskan untuk mengejar kedudukan setinggi mungkin dalam kerjaya sehingga mengabaikan orang di sekitar yang berpotensi untuk dijadikan bakal pasangan. Akibatnya, bakal pasangan mungkin tawar hati kerana tidak pernah dihargai lalu mencari orang lain. Mengejar cita-cita tidak salah tetapi fokus perlu juga diberikan dalam urusan mencari jodoh. Oleh sebab itu, bagi seseorang yang sudah betul-betul bersedia untuk berumah tangga dan berkemampuan untuk menanggung sebuah keluarga, fokuskan hati untuk mencari jodoh yang sebenar dengan bersungguh-sungguh.

4. Belum bersedia.

Perasaan sama ada sudah bersedia atau belum untuk berumah tangga lahir dari dalam hati setelah kita menilai diri sendiri. Kemampuan mempengaruhi persediaan. Orang yang kurang mampu dari segi ekonomi, fizikal dan mental biasanya berasa kurang bersedia untuk berumah tangga. Selagi hatinya mengatakan dia belum bersedia untuk berkahwin, selagi itulah seseorang itu sukar bertemu jodoh. Perkahwinan memang dipenuhi dengan seribu satu tanggungjawab yang perlu dipikul. Namun demikian, jika terlalu memikirkan tidak bersedia memikul tanggungjawab tersebut, selamanya dia akan berasa tidak bersedia. Perlu diingat, apa jua masalah yang timbul dalam alam rumah tangga, ia adalah untuk diselesaikan, bukan semata-mata untuk dirintih. Allah SWT tidak akan membebankan seseorang itu dengan masalah yang tidak mampu dipikulnya. Malah masalah yang menimpa seseorang itu merupakan suatu peluang untuk menaikkan darjat di sisi Allah SWT dan mematangkan hidup kita untuk menghadapi cabaran mendatang. Lantaran itu, positifkan fikiran daripada terlalu memikirkan risiko dan cubalah sedaya upaya menampung segala kekurangan diri dalam segala aspek agar kita berasa bersedia untuk berumah tangga.

5. Terlalu memilih.

Orang yang terlalu memilih biasanya akan meletakkan kriteria tertentu untuk bakal pasangannya, antaranya:-

- Keturunan
- Kekayaan
- Warna kulit
- Skala kecantikan
- Tahap pendidikan
- Status dalam masyarakat

Lantaran itu, kegagalan mencari orang yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan menyebabkan seseorang itu lambat bertemu jodoh. Tidak salah memilih kriteria tertentu untuk pasangan tetapi jangan terlampau ketat dalam memilih.

Kriteria jodoh untuk anak perempuan:-

*  Mampu menjadi pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab.

*  Mencari nafkah yang jujur dan berhasil

*  Bersikap baik terhadap isteri.

*  Dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberikan pendapat.

*  Dapat menerima kelebihan dan kekurangan isteri.

*  Dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu.

*  Dapat menjaga kewibawaan isteri.

*  Dapat membimbing isteri.

*  Menghormati keluarga dan sanak saudara isteri.

*  Boleh jadi bapa yang baik kepada anak-anak.

*  Boleh menjadi pasangan yang baik, zahir dan batin



6. Hati masih tidak bersih.

Hati yang masih banyak diselaputi kebencian mungkin akan menyebabkan bakal pasangan mudah membenci. Orang yang hatinya penuh benci akan menghantar “gelombang benci” kepada orang lain di sekitarnya menyebabkan dirinya juga akan sering dibenci. Oleh sebab itu, ubatilah hati. Tanamkan kasih sayang kepada semua orang. Andai diri sering teraniaya, hantarlah doa kepada orang yang menganiaya bukannya cacian. Jadikan taqwa sebagai benteng daripada membiarkan perasaan dendam menguasai diri. Pandanglah semua orang dengan kaca mata kasih sayang dan suburkanlah sifat berbaik sangka terhadap semua orang di hati kita. Insya-Allah, berkat kesucian hati yang sarat dengan kasih sayang, nescaya diri kita akan mudah disayangi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:-

“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.” (surah Ali ‘Imran, 3:102)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:-

“Hai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar. Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar.”
(surah al-Ahzab, 33:70-71)

Wallahua'lam.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 462,075 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen