Tip Magnet Menarik Jodoh Yang Baik.

 

Setiap kali datang tahun baharu, bermakna umur kita semakin meningkat. Semakin umur meningkat, semakin banyak perkara yang difikirkan, terutama apabila banyak perkara dalam kehidupan ini belum tercapai. Antara perkara yang sering menghambat fikiran adalah tentang jodoh.



Daripada pertemuan jodoh yang baik, akan terbina rumah tangga dan keluarga yang baik, seterusnya daripada ahli keluarga yang baik dan bahagia akan terbina negara yang aman dan jaya. Sebab itulah pentingnya perkahwinan, sehingga Nabi Muhammad SAW, tidak mengaku umatnya kepada sesiapa yang menolak perkahwinan.

Persoalan tentang jodoh ini banyak kita temui dalam pelbagai situasi. Situasi pertama, umur sudah meningkat tetapi masih tidak bertemu jodoh, malah tidak ada tanda-tanda pun akan bertemu jodoh. Sedangkan rakan-rakan dan keluarga sibuk bertanya bilakah akan mengakhiri zaman bujang?

Situasi kedua, sudah bertemu jodoh tetapi tidak yakin pada diri sendiri dan tidak yakin itulah jodoh yang sesuai? Situasi ketiga, sudah bertemu jodoh tetapi lebih daripada satu, hingga tidak tahu hendak memilih yang mana satu? Situasi keempat, ada yang mendapat jodoh terlalu awal, dalam usia belasan tahun, maka persoalannya bolehkah diteruskan dengan ikatan pernikahan?



Yakinlah bahawa Allah sudah tetapkan jodoh kita semasa kita dilahirkan. Jodoh, rezeki, ajal, dan maut telah ditetapkan Allah sejak roh kita dicipta. Bagi berhadapan dengan orang yang asyik bertanya tentang jodoh, jawablah begini: "Doakan saya, insya-Allah akan mendapat jodoh yang baik."

Jangan bosan atau sensitif apabila orang bertanya tentang jodoh, dan elakkan daripada menghukum orang yang bertanya itu dengan pelbagai prasangka buruk. Sebaliknya bersangka baik dengan menganggap orang yang bertanya itu terlalu mengambil berat dan sayang akan kita, bukan terlalu menyibuk tentang soal peribadi kita.

Umur sudah lebih, sudah ada pekerjaan yang baik, dan ekonomi pun sudah mantap tetapi belum ada jodoh? Kita kena yakin bahawa Allah Maha Pemberi dan Allah Maha Mengetahui bilakah waktu yang terbaik kita mendapat jodoh. Kita jangan pedulikan apa orang kata tentang jodoh kita. Sebab kalau kita dengar apa orang kata, sampai bila pun kita tidak senang hidup, kerana hanya kita yang tahu apa yang kita hendak.

Tidak perlu terlalu beremosi dan sensitif tentang persoalan jodoh ini. Maknanya apabila orang memberi perkara yang tidak baik kepada kita, dengan bertanya perkara yang kita tidak suka, hingga membuatkan hati kita tersinggung, sakit dan geram kita terima dan jangan memberi reaksi negatif. Kerana perasaan negatif; geram, marah, sakit hati, bosan dan menyampah itu akan memberi kesan yang buruk kepada emosi dan kesihatan kita, yang akhirnya melemahkan fizikal kita.

Dalam kehidupan ini, kita tidak tahu perkara yang akan berlaku terhadap kita pada masa akan datang. Kalau kita sudah bertemu jodoh untuk meyakinkan dialah jodoh yang sesuai, kita kena percaya yang pegang hati kita ialah Allah. Bersangka baiklah dengan Allah. Cuba kita fikir, dalam banyak-banyak orang yang kita bertemu, mengapakah Allah mentakdirkan mata kita ternampak dia dan menggerakkan hati kita terpikat kepadanya?

Pilihan.

Ingat konsep "ADA -- BERI - DAPAT". Kalau kita seorang lelaki/wanita yang baik dan beriman serta berniat untuk mendapatkan seorang wanita solehah/lelaki soleh sebagai pasangan hidup dan kita juga sudah bertungkus-lumus menjadikan diri kita seorang lelaki soleh/wanita solehah, Allah akan menggerakkan hati kita mendapat orang yang beriman, sama seperti kita.

Dalam hidup kita selalu kena membuat pilihan dan kualiti kehidupan kita memang bergantung kepada kualiti pilihan. Pilihan yang kita buat hari ini menentukan corak kehidupan kita 20 atau 30 tahun akan datang. Terutama sekali dalam memilih calon suami atau isteri. Setiap kali kita membuat pilihan, kita kena tanya kepada diri kita mengapakah kita buat pilihan itu?



Pilihan kita belum tentu baik, pilihan keluarga mungkin baik, tetapi pilihan Allah sentiasa terbaik. Adakah pilihan kita itu kerana Allah dan kerana untuk jaminan kehidupan di akhirat atau kerana orang dan untuk kehidupan di dunia sahaja? Kalau kita mengejar akhirat, dunia akan mengekori kita, tetapi kalau kita mengejar dunia, akhirat akan tertinggal di belakang.

Bagi orang yang mempunyai pilihan jodoh lebih daripada satu, hendak memilih jodoh dengan mengikut hadis Nabi. Pilihlah rupa paras, yang menyenangkan mata memandang dan menyedapkan hati kita mengenangnya. Selalunya kita tengok rupa seseorang itu, untuk melihat dia serasi dengan kita atau tidak.

Iaitu apabila kita melihat dia, hati kita menjadi tenang. Lihat keturunan keluarganya kalau dapat biarlah yang sekufu dan lihat kedudukan kewangannya. Tetapi, yang paling penting dan ditekankan oleh Nabi adalah kalau kita hendak memilih jodoh, lihatlah agamanya.

Tip macam mana hendak mendapat jodoh yang baik. Pertama, kita kena tahu mengapa kita berkahwin? Adakah kita berkahwin kerana orang berkahwin, maka kita pun mesti berkahwin? Yang sepatutnya berlaku, kita berkahwin kerana kita sudah bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi.

Kedua, tulislah skrip kehidupan, bila dan dengan siapa kita akan berkahwin? Senaraikan ciri-ciri lelaki/wanita idaman. Kemudian lihat sebanyak mana pula ciri-ciri yang kita mahukan daripada seorang lelaki/wanita yang bakal menjadi suami/isteri kita itu, ada dalam diri dan sifat kita sendiri. Kalau kita tidak ada sifat orang yang beriman, biasanya sukar untuk kita bertemu orang yang begitu.



Logiknya orang yang beriman tidak mungkin menghabiskan waktunya di disko atau tempat hiburan. Orang yang beriman tentu akan berulang-alik ke masjid dan menghadiri usrah dan sibuk mencari ilmu. Maka kecenderungan untuk dirinya bertemu dengan lelaki/wanita yang beriman adalah amat tinggi.

Insya-Allah diri kita yang beriman akan menjadi magnet yang akan menarik magnet lelaki/wanita beriman yang sama minat dengan kita. Kalau kita baik, kita ada magnet untuk menarik orang yang baik datang kepada kita. Hal ini banyak dibincangkan dalam buku Kanta Kesedaran, terbitan terbaharu As-Sohwah dalam bab "Magnet Menarik Jodoh".

Ketiga, berdoalah dan buat Sembahyang Istiqarah. Dengan manusia kita bermesyuarah dengan Allah kita beristiqarah. Tugas kita hanya berdoa mohon dipertemukan jodoh yang baik dan beriman. Jangan kita marah dan menyoal, mengapa Allah tidak pertemukan jodoh untuk kita?

Keempat, untuk berkahwin, kesihatan mesti bagus, kewangan bagus dan fizikal pun bagus. Tetapi yang lebih diberi keutamaan ialah persiapkan diri dari segi keimanan. Jangan sibuk membuat persiapan material, hendak ada rumah, hendak ada kereta.

Sebenarnya yang penting persediaan dari segi agama. Apabila kita berkahwin, rezeki akan datang, insya-Allah. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 293,105 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen