Lapan Jenis Penyakit Sosial Di Tempat Kerja Ini Boleh Merosak Reputasi Anda.

 

Tamat pengajian kita memburu mencari kerjaya idaman. Dari langkah di hari temuduga ke hari pertama bekerja, semuanya disusun rancang menjadi wacana berharga. Namun, bila mula sudah selesa dengan semua yang ada bermacam-macam penyakit datang menjadi virus kepada produktiviti yang ada. Kami ingin berkongsi dengan anda kemungkinan akan penyakit-penyakit sosial di tempat kerja.



Disiplin.

Cuba ingat kembali kala hari pertama anda memulakan tugasan. Jam berapa tiba? Apa yang dipakai? Dan bagaimana pergaulan bermula. Penuh dengan disiplin dan aturan bukan? Jadi mengapa harus semakin lama bekerja semakin teruk disiplin tidak dijaga? Ingat walau seselesa manapun kedudukan anda, selagi namanya makan gaji selagi itulah anda perlu mengawal tingkah laku dan disiplin agar tidak menjadi masalah akhirnya.

Malas.

Ini virus paling mudah mendekati semua orang yang akhirnya menjadi penyakit berbahaya. Antara simptom utamanya adalah datang lewat pulang awal, curi-curi tidur, mula mengelak menjadi ketua bagi setiap tugasan berkumpulan dan lain-lain. Bila simptom-simptom ini mula wujud maka fahamlah bahawa penyakit malas ini sudah mula menguasai diri. Kunci untuk mengelak daripada penyakit ini menular adalah ambil setiap tugasan yang diberi sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Dengan ini pasti virus malas yang cuba mencucuk diri mampu di atasi.



Pecah amanah.

Jangan menyalahgunakan tanggungjawab yang diberi. Hal ini bukan saja boleh menjejaskan nama baik malah membawa anda kepada hal yang lebih berat seperti disaman atau dipenjarakan. Banyak terjadi kepada mereka yang mengawal akaun syarikat atau hubungan bersama klien. Ingat, jangan kerana wang mata anda gelap dibayangi hal-hal yang akhirnya membuatkan anda dirundung masalah seumur hidup!

Buli.

Penyakit berlagak! Bukan lagi jadi hal biasa bila ada senior di dalam syarikat cuba menunjuk kuasa pada staf baru memulakan kerja. Jangan begitu, alangkah baik jika anda sebagai senior memberi tunjuk ajar agar memudahkan operasi kerja seharian di pejabat. Tidak salah mengarah tapi biar kena dengan caranya agar arahan yang diberi boleh diterima baik pekerja baru yang berada di bawah anda.

Laman sosial.

Menghabiskan masa di pejabat dengan melawati laman sosial seperti Facebook, Twitter atau blog terbukti memberi kesan kepada produktiviti kerja. Masa yang sepatutnya digunakan untuk membuat kerja dengan penuh teliti akhirnya diganggu dengan aktiviti sosial yang tidak berkaitan kerja. Apa yang anda boleh lakukan adalah lawat laman sosial yang kerap anda lawati ketika masa rehat atau selepas waktu kerja. Jangan campur aduk kualiti masa kerja anda dengan aktiviti di laman sosial.



Gosip.

Ini perihal biasa. Baik perempuan mahupun lelaki sama naik, jadi kaki gosip! Pantang ada hal sensasi mulalah jadi bualan mulut ke mulut. Elak daripada menjadi penyampai berita tidak rasmi pejabat. Jika anda mendengar apa-apa khabar angin jadilah pendengar sahaja, usah menambah atau menjadi penyampai kepada orang lain. Bertambah parah jika ada yang menjadi batu api dan melagakan satu pihak dengan pihak yang lain. Jangan begitu, takut satu hari nanti memakan diri sendiri pula.

Gangguan seksual.

Menurut kajian kesan daripada stres keterlaluan di tempat kerja boleh menjadikan seorang lelaki menggunakan orientasi seks sebagai objek pelepas tekanan. Hal ini pasti saja akan menakutkan ramai wanita di luar sana. Sebagai lelaki anda perlu bijak mengawal emosi dan nafsu yang ada. Tidak salah bergurau atau berbincang isu berhubung seksual dengan wanita tapi harus ada batasnya, takut ada yang tidak selesa dengan cara anda nanti.

PMS.

Angin satu badan sampai hal yang kecil diperbesarkan. Hal ini terjadi pada yang tidak bijak mengawal kemarahan. Semua orang punya tekanan sendiri dalam melaksanakan tugas tapi jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar! Jika anda seorang bos, kawal dengan bijak kemarahan pada anak buah agar tidak ada yang dingin dengan sikap anda. Jika anda seorang pekerja biasa anggap positif, jangan sampai kemarahan disimpan menjadi dendam.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 373,600 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen