7 Kaedah Bijak Mengurus Tugasan Kerja Ketika Berbulan Madu.

 

Setelah selesai majlis resepsi tibalah percutian yang ditunggu-tunggu, detik manis tatkala berbulan madu. Setiap pasangan yang baru berkahwin pasti tidak sabar menantikan momen indah ini. Namun ada ketikanya tugas di pejabat tidak boleh ditolak tepi. Meskipun sedang bercuti anda masih boleh menguruskan beberapa hal penting asalkan tidak menjejaskan nikmat pelayaran kasih yang baru bermula. Tip berikut barangkali sesuai dilakukan jika hal penting menyerbu sewaktu percutian anda.



1. Putuskan tempoh percutian.

Kebanyakan rancangan bulan madu bergantung pada tempoh berapa lama anda berdua boleh mengambil cuti. Mungkin polisi pejabat anda berlainan dengan si dia, atau had cuti masing-masing yang berbeza. Berbincang dahulu dan tentukan apakah keputusannya selepas mengambil kira beberapa perkara. Biasanya pengantin perempuan selesa mengambil cuti ekstra sebelum bulan madu anda bermula untuk membuat persiapan penting atau menyelesaikan perkara yang lain.

2. Rancang janji temu.

Bulan madu yang bebas tekanan bermula daripada teknik penyusunan kerja yang teratur, selain mengambil kira faktor sebelum dan selepas anda selesai bercuti. Rancang sebaik-baiknya segala janjitemu selepas anda pulang berbulan madu. Anda juga perlu menyiapkan segala tugasan yang diberikan sebelum cuti bermula.



3. Pesanan e-mel dan mel suara.

Agar tidak terlepas maklumat-maklumat penting, pastikan anda sudah membuat pesanan automatik menerusi e-mel atau mel suara. Maklumkan kepada pemanggil atau pengirim tentang percutian anda dan bagaimana anda boleh dihubungi untuk sebarang panggilan penting terutama jika anda berbulan madu ke luar negara. Anda juga boleh menyertakan maklumat rakan setugas anda yang membantu menggantikan anda sepanjang ketiadaan di pejabat. Tetapkan di telefon bimbit anda untuk menerima e-mel pejabat agar anda tidak ketinggalan dengan sebarang berita terbaru.

4. Membawa ‘tablet’.

Pada zaman ini, dunia menjadi semakin kecil di hujung jari. Walaupun sedang menikmati saat romantis di Menara Eiffel, melihat matahari terbenam di Pulau Santorini, menikmati kopi hitam di Monte Carlo atau belayar di atas kapal persiaran contohnya, anda masih boleh mengakses pesanan atau e-mel penting menerusi ‘tablet’ mahupun telefon bimbit dengan kemudahan internet. Tapi pastikan anda cuma menyemaknya, bukan sehingga mengurus atau mengendalikan kerja sehingga mengabaikan pasangan anda yang mahu bergembira.



5. Menjawab panggilan.

Ramai pengantin baru yang sedang berbulan madu tertanya-tanya sama ada perlu atau tidak untuk mematikan telefon bimbit ketika bersama-sama pasangan. Anda mungkin tidak mahu diganggu tapi bagaimana jika panggilan itu benar-benar penting dan mampu menentukan masa depan kerjaya anda atau mungkin panggilan penting daripada keluarga tersayang? Jawapannya biarkan telefon sentiasa dihidupkan, tapi jika anda merasa agak menggangu apa kata tinggalkan sahaja ia di dalam bilik hotel dengan selamat ketika anda berdua keluar. Periksa panggilan ketika anda benar-benar lapang.

6. Mesyuarat tergempar.

Ketika sedang asyik berbulan madu, tiba-tiba anda mendapat berita tentang peluang perniagaan anda yang sedang dibuka dan perlu segera diuruskan. Adakah ia wajar dilepaskan begitu sahaja? Tentu sekali perkara ini akan menganggu fikiran dan ketenangan anda untuk bercinta kerana fikiran sibuk memikirkan tentang perkara itu. Maklumkan kepada yang tersayang betapa pentingnya mesyuarat itu agar si dia tidak berkecil hati dan mungkin anda boleh ajak si dia bersama anda untuk menyertai mesyuarat yang dijalankan secara maya itu.

7. Laman sosial.

Antara kesilapan ketika percutian dan berkaitan kerjaya yang sering dilakukan oleh pasangan yang berbulan madu adalah jika anda sering mengemaskini status di laman sosial. Pada saat anda leka berkongsi kebahagiaan di tempat-tempat indah, mungkin ada mata yang kurang senang apatah lagi jika tugas anda perlu diambil alih oleh orang lain. Jadikan kenangan bulan madu sebagai milik dan privasi anda, ia adalah hak peribadi dan bukan untuk dikomen atau dinilai oleh orang lain. Hayati setiap saat bersama si dia tanpa perlu berkongsi setiap perkara dan keintiman anda kepada semua orang.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 447,006 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen