Wujudkah Istilah Suami Nusyuz.

 

Dalilnya ialah ayat al-Qur'an ini: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya sikap nusyuz atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang baik) kerana perdamaian itu lebih baik; sedangkan sifat kedekut itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. [al-Nisa' 4:128]



Ayat ini ditujukan kepada para isteri. Perhatikan di permulaan ayat di mana Allah menyebut '...bimbang akan timbul...', bererti isteri sentiasa prihatin kepada sikap suami dan segera bertindak apabila wujud tanda-tanda awal bahawa suami akan nusyuz atau tidak melayaninya dengan baik.

Nusyuz secara bahasa bererti tinggi. Dalam konteks ayat ini, ia bererti suami yang tinggi diri, ego, sombong dan bersikap ala diktator. Tidak melayaninya bererti tidak memberi nafkah batin kepada isteri seperti belaian kasih sayang, santapan rohani, pelukan dan hubungan seks. Jika suami menunjukkan tanda-tanda awal yang negatif seperti ini, maka ayat al-Qur'an di atas menyuruh isteri segera bertindak.

Tindakan pertama ialah '...membuat perdamaian di antara mereka berdua'. Yakni mencari dan mengorak langkah-langkah bagi mengelakkan tanda-tanda awal nusyuz dan tidak layan tersebut daripada menjadi kenyataan.



Ayat ini menggunakan istilah perdamaian kerana lazimnya apabila suami bertindak sedemikian, ertinya sudah wujud bibit-bibit persengketaan di antara suami dan isteri dalam rumahtangga tersebut. Bibit-bibit tersebut mungkin kecil dan dipandang ringan, akan tetapi bukankah kata pepatah ada menyebut 'Sikit-sikit lama-lama jadi bukit'?

Seterusnya Allah berfirman: '...kerana perdamaian itu lebih baik' yakni apabila dibandingkan dengan perceraian. Allah menyatakan sedemikian kerana sebahagian isteri, apabila wujud tanda-tanda awal nusyuz atau tidak layan di pihak suami, mereka akan segera menuntut cerai. Rangkap ayat ini seolah-olah menyentuh suasana realiti masa kini, di mana agak ramai pasangan yang begitu mudah bercerai.

Apabila timbul sikap nusyuz atau tidak layan daripada suami, isteri menjadikan penceraian sebagai solusi tanpa sungguh-sungguh mengusahakan langkah-langkah perdamaian. Mereka menyangkakan penceraian itu adalah lebih baik berbanding 'keseksaan' hidup bersama.

Namun setelah melaluinya, ternyata bahawa penceraian itu sendiri adalah satu penyeksaan yang dahsyat sehingga tidak sedikit di antara mereka yang menyesal.

Perkara yang sama juga ditujukan kepada para suami agar jangan segera menjadikan penceraian sebagai solusi masalah rumah tangga.

Allah berfirman dalam ayat yang lain:

Kemudian jika kamu (wahai suami merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). [al-Nisa' 4:19]



Kembali kepada masalah suami yang dibimbangi nusyuz, tindakan kedua merujuk kepada firman Allah: '...sedangkan sifat kedekut itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia.' Apabila melakukan perdamaian, mesti ada sikap saling memaafkan, saling mengaku kesilapan diri sendiri, saling memberi serta menerima (give and take), saling berjanji untuk melakukan pembaikan dan saling berusaha ke arah kebaikan.

Sikap-sikap mulia seperti ini tidak akan wujud pada diri orang yang bersifat kedekut. Atas dasar inilah Allah memberi peringatan ' ... sedangkan sifat kedekut itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia' agar pasangan suami isteri sedar akan sikap kedekut yang ada dalam diri masing-masing dan segera menjauhinya dalam proses perdamaian tersebut.

Akhirnya Allah memberi motivasi: 'Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan) dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman)' Allah menggunakan kata ganti 'kamu' dan bukannya 'kalian berdua' dalam rangkap terakhir ini kerana ia ditujukan secara individu kepada suami dan isteri agar masing-masing memainkan peranan ke arah perdamaian, berlaku baik dan mencegah diri daripada menzalimi pasangan.



Apa jua yang dilakukan oleh isteri, apa jua yang dilakukan oleh suami, '...maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.'

Demikianlah ayat al-Qur'an berkenaan suami yang nusyuz dan langkah-langkah yang patut diambil oleh isteri apabila timbul tanda-tanda awal suami akan nusyuz atau tidak melayannya. Perhatikan perbezaan besar langkah-langkah yang perlu diambil oleh isteri ke atas suami yang dibimbangi nusyuz dengan langkah-langkah yang perlu diambil oleh suami ke atas isteri yang dibimbangi nusyuz.

Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Bin Abdullah Juruterbang MAS.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 472,864 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen