Jika Ditanya Mana-Mana Suami Yang Pernah Menzalimi Isteri, Nescaya Mereka Tidak Mengetahui Langsung Berkenaan Ayat 34 Surah Al-Nisa'.

 

Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang nusyuz hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan yang bertujuan mengajarnya).



Perkataan dharaba memiliki beberapa erti lain dan ia tidak semestinya bererti 'pukul'. Ia juga boleh bererti 'pergi jauh'.

Ini terbukti dalam sirah Rasulullah di mana baginda tidak pernah memukul isteri-isteri baginda. Pernah sekali baginda murka dengan tindakan sebahagian isteri, lalu baginda pergi meninggalkan mereka selama lebih kurang sebulan.

Apa fikiran kita tentang Islam dan sama ada ia zalim atau tidak hendaklah diukur berdasarkan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jangan mengukurnya berdasarkan tamadun manusia atau salah laku orang-orang tertentu. Cara yang betul bagi menafsirkan sesuatu ayat al-Qur'an ialah mencari apakah penjelasan Rasulullah. Ini kerana, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam ayat 44 surah al-Nahl, salah satu peranan Rasulullah ialah menjelaskan ayat-ayat al-Qur'an.



Firman Allah:

Dan Kami turunkan kepadamu al-Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan. [al-Nahl 16:44]

Di antara penjelasan atau penerangan Rasulullah berkenaan dharaba ialah khutbah baginda pada Hari Tasyik sempena Haji Wada', di mana baginda bersabda:
Maka jika kalian bimbang sikap nusyuz mereka (isteri-isteri), maka menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. [Musnad Ahmad, no: 20695, sahih]

Dalam hadis di atas, Rasulullah menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh suami ke atas isteri yang dibimbangi nusyuz.

Ia sama seperti ayat 34 surah al-Nisa', hanya bagi menambah agar pukulan tersebut bukanlah pukulan yang menyakitkan. Ada pun dakwaan bahawa perkataan dharaba bererti 'pergi jauh', ia merujuk kepada ayat berikut:

Dan apabila kamu berpergian (dharaba) di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu menqasar solat(mu), jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang nyata bagimu. [al-Nisa' 4:101]

Perkataan dharaba dalam ayat di atas tetap bermaksud pukul. Ia digunakan dalam ayat di atas bagi mengisyaratkan perjalanan yang jauh (musafir), di mana seseorang itu perlu melakukannya dengan kekuatan dan keteguhan sehingga seolah-olah 'kakinya memukul muka bumi'. Seandainya berjalan santai atau bersiar-siar dalam jarak yang dekat, ia tidak memerlukan kekuatan dan keteguhan. Syaikh Mutawalli Sya'rawi menjelaskan: 'Kalimat memukul di bumi maksudnya adalah seorang mukmin melakukan perjalanan di muka bumi dengan keteguhan dan kekuatan.' [Tafsir Sya'rawi, jld. 3, ms.318]



Merujuk kepada kisah Rasulullah meninggalkan sebahagian isterinya selama sebulan, ia adalah kisah benar (Shahih Muslim, no: 2703) sehingga menyebabkan turunnya ayat 28-29 surah al-Ahzab. Akan tetapi Rasulullah tidak 'pergi jauh' meninggalkan isteri-isteri baginda. Apa yang baginda lakukan ialah memulaukan mereka (baginda tetap di Madinah) dan ini selari dengan langkah kedua terhadap isteri yang nusyuz. Perhatikan bahawa memulaukan isteri di tempat tidur secara minimum ialah tidur dengan berpaling ke arah yang lain.

Namun ia boleh diluaskan kepada tidur di bilik yang lain atau tidak pulang ke rumah isteri, selari dengan kadar maslahat yang ingin dicapai di sebalik pemulauan tersebut. Benar bahawa Rasulullah tidak memukul isteri-isterinya. Ini kerana mereka kembali taat selepas dipulaukan sehingga tidak memerlukan kepada tahap memukul.

Merujuk kepada kebimbangan suami yang menzalimi isteri, percayalah bahawa suami tersebut melakukannya bukan berdasarkan ayat 34 surah al-Nisa'. Bahkan jika ditanya kepada mana-mana suami yang pernah menzalimi isteri mereka, nescaya mereka tidak mengetahui langsung berkenaan ayat 34 surah al-Nisa', apatah lagi tafsirannya yang sebenar.

Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Bin Abdullah.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 399,618 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen