Isteri Kahwin Dua?

 

Beberapa tahun lalu masyarakat dikejutkan dengan kes wanita yang sudah bersuami berkahwin dengan lelaki lain biarpun perkahwinannya masih sah di sisi undang-undang. Baru-baru ini pula timbul kisah seorang selebriti lelaki telah melangsungkan pertunangan dengan isteri orang.



Ramai melihat kes-kes wanita 'bersuami dua' sebagai ini sebagai isu terpencil, tetapi tidak kurang juga yang berpendapat jika ia diabaikan tanpa tindakan sewajarnya bakal menjadi gejala yang boleh merosakkan institusi keluarga kerana ia bertentangan sama sekali dengan ajaran agama Islam.

Ijab dan kabul adalah lafaz untuk membolehkan lelaki dan wanita hidup bersama sebagai suami isteri yang sah.

Setelah berlakunya ijab dan kabul, bermakna kedua-dua mereka bersetuju meneruskan kehidupan bersama-sama berlandaskan kepercayaan dan kesetiaan yang bertunjangkan syariat Islam.

Begitupun, dengan peredaran zaman kerukunan dan keteguhan rumah tangga dilihat semakin rapuh, apatah lagi apabila berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan.

Hari ini semakin banyak kes-kes yang melibatkan perempuan atau isteri meminta cerai daripada suami atau berlaku curang.



Dalam hal ini, Pensyarah Falkuti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal, menyifatkan wanita hari ini semakin berani dalam dunia yang serba moden.

Disebabkan sifat itulah katanya, wanita-wanita yang sudah mendirikan rumah tangga sanggup menyuarakan keinginan untuk bercerai, malah tanpa segan silu meminta talak dijatuhkan oleh suami.

Disebabkan itu jugalah menurut Noor Aziah, hari ini terdapat kes-kes di mana perempuan yang sudah berkahwin melangsungkan perkahwinan kali keduanya dengan lelaki lain.

Ini bermakna wanita tersebut berkahwin dua. Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan sudah pasti perbuatan tersebut adalah haram di sisi agama Islam.

"Selalunya kes-kes di mana wanita berkahwin dua ini membabitkan perkahwinan yang terdahulunya berlaku di negara jiran.

"Selepas perkahwinan tersebut, pasangan terbabit tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini dan secara tidak langsung tiada rekod perkahwinan dicatatkan di mana-mana pejabat agama.

"Sekiranya pasangan ini (yang berkahwin di negara jiran dan tidak mendaftarkan perkahwinan di Malaysia) memohon untuk berkahwin sudah pasti permohonan mereka akan diterima kerana pejabat agama tidak mempunyai rekod bahawa mereka telah berkahwin sebelum ini.

"Tetapi sebenarnya jika diikut dari segi hukum syarak, perkahwinan tersebut (yang berlaku di negara jiran) sah. Cuma mengikut undang-undang pasangan terbabit perlu mendaftarkan perkahwinan mereka agar tidak menimbulkan masalah dan kecelaruan di kemudian hari," katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian wanita berkahwin dua.



Tambah beliau, selain dilihat semakin berani, wanita hari ini juga sudah terkeluar daripada tradisi biasa di mana dengan mudah jatuh cinta walaupun masih berstatus isteri.

Pada masa yang sama, wanita-wanita ini juga dilihat terlalu mengambil mudah hal-hal berkaitan nikah cerai. Sudah pasti perlakuan mereka amat membimbangkan kerana akan mengundang pelbagai masalah lebih-lebih lagi kemurkaan Allah SWT.

Noor Aziah memberitahu, sebanyak 60 peratus perkahwinan yang berlaku di Thailand adalah tidak sah dari segi hukum kerana tidak menepati rukun nikah selain tidak diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Thailand.

Sebanyak 50 peratus daripada peratusan itu menunjukkan bahawa perkahwinan yang berlaku di negara tersebut didalangi sindiket yang rata-ratanya tidak menitikberatkan syarat sah perkahwinan.

Noor Aziah juga tidak menafikan wanita hari ini tidak tahu hukum menjadi isteri dan mereka juga boleh dikategorikan individu yang meterialistik.

Pada masa sama wanita-wanita ini kurang kawalan nafsu dan akibat daripada itu mereka tanpa segan silu melakukan zina yang merupakan satu dosa besar.

Menurut Noor Aziah, orang yang berzina itu tidak takut tuhan dan wanita-wanita tersebut sebenarnya mengalami masalah akidah.

"Dalam hal-hal sebegini kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran seharusnya menggunakan kelebihan tersebut untuk berfikir.

"Tambahan pula kita sebagai umat Islam seharusnya mengenali Allah SWT dan ini semua berbalik semula kepada asas.

"Kita perlu ingat, kahwin dan talak bukan perkara main-main dan pada saya jangan kahwin ikut selera. Kahwin ikut prosedur kerana ini adalah satu yang penting dalam kehidupan," jelasnya.

Mengulas mengenai isu wanita berkahwin dua, Noor Aziah berpendapat dalam mana-mana kes pun, wanita tersebut menjangka perkahwinan yang berlaku di negara jiran tidak sah kerana ia mungkin bernikah menggunakan sindiket haram.

Maka dia membuat keputusan berhak untuk berkahwin sekali lagi.

Kata Noor Aziah, apa-apa pun perlu diselesaikan terlebih dahulu seperti mendaftarkan perkahwinan di Malaysia ataupun dapatkan surat cerai dari negara di mana pernikahan berlaku untuk memudahkan segala urusan di kemudian hari terutama sekali berkaitan dengan hal nikah kahwin.

"Dinasihatkan agar setiap pasangan mendaftarkan perkahwinan masing-masing untuk memudahkan segala urusan pada masa akan datang.



"Dalam hal ini sekiranya perkahwinan yang berlaku sah dari segi hukum, sudah pasti perkahwinan (perkahwinan kali kedua) haram kerana di dalam agama Islam pinang tunang orang haram apatah lagi mengahwini isteri orang.

"Apa-apa pun bawa perkara ini ke mahkamah dan dapatkan keputusan yang sahih agar tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan agama apatah lagi sekiranya anda was-was," tuturnya.

Katanya, perlu diingatkan perkahwinan yang tidak didaftarkan bakal mengundang banyak masalah apabila wanita sewenang-wenangnya mengambil keputusan untuk berkahwin lagi tanpa melalui proses penceraian yang betul selain keturunan anak juga boleh dipertikaikan.

Sebenarnya perkahwinan yang berlaku di negara jiran akan membawa banyak masalah kepada wanita kerana mereka perlu mendapatkan surat cerai yang sah sebelum berkahwin semula tetapi sebaliknya bagi lelaki kerana mereka boleh berkahwin lebih daripada satu.

Sebelum mengakhiri bicara, Noor Aziah turut meluahkan kerisauan hatinya mengenai generasi yang akan dilahirkan.

Beliau juga menegaskan apa jua yang berlaku bukanlah salah ibu mengandung dan juga bukan salah mana-mana pihak cuma berfikirlah sebelum bertindak.

 

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 466,027 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen