Agar Hubungan Yang Dijalin Lebih Diberkati, Pastikan Anda Tahu 10 Maksud Cinta Yang Disebut Dalam Al-Quran Ini.

 

Cinta akan lebih dirahmati dan menjadi ibadah apabila ia diletakkan di tempat yang sebaiknya. Namun jika cinta itu tidak diletakkan sesuai dengan reda Allah SWT maka ia akan menjadi sesuatu yang boleh membawa keburukan. Dalam Al-Quran, Allah SWT ada memberi petunjuk yang menyingkap tentang cinta. Ini termasuklah cinta yang membawa kepada kebaikan, begitu juga jenis cinta yang boleh membawa kepada keburukan. Ibnul Qayyim pernah mengatakan bahawa:

'Cinta tidak bisa didefinisikan dengan jelas, bahkan apabila didefinisikan tidak menghasilkan (sesuatu) melainkan menambahkan kabur dan tidak jelas, (bererti) definisinya ialah adanya cinta itu sendiri.'



1. Cinta mawaddah.

Sejenis cinta yang sentiasa membara dan ingin memonopoli cintanya sehingga membuatkan orang yang mengalaminya akan sentiasa memikirkan tentang cintanya. Pemilik cinta jenis ini juga selalunya ingin bersama dan tidak mahu berpisah, malah ingin selalu memuaskan rasa cintanya. Ia ada disebut dalam surah Ar-Rum ayat 21:

'Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.'

2. Cinta rahmah.

Sebuah cinta yang penuh dengan kelembutan, kasih sayang serta sanggup berkorban dan melindungi orang yang dicintainya. Bagi pemilik cinta ini, kegembiraan dan kebahagiaan orang yang dicintainya adalah lebih penting walaupun dia sanggup menderita. Malah pencinta ini begitu memahami segala kekurangan dan sentiasa memaafkan kesalahan pasangannya.

Cinta ini termasuk cinta yang ada pertalian darah seperti cinta orang tua terhadap anaknya, cinta terhadap pasangan yang halal dan sebagainya. Dalam Al-Quran, kerabat disebut al-arham, dzawi al-arham iaitu orang yang memiliki hubungan kasih sayang secara fitri, kasih sayang ibu disebut rahim (dari kata rahmah) dan kasih sayang suami isteri yang diikat dengan cinta mawaddah dan rahman. Ia ada disebut dalam surah Al-Kahfi ayat 81:

'Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya (rahmahnya).'

3. Cinta syaghaf.

Merupakan cinta yang sangat mendalam dan mengasyikkan sehingga membuatkan pencinta jenis ini (qad syaghafaha hubba) seperti lupa diri dan seolah-olah tidak menyedari apa yang dilakukannya. Al-Quran menggunakan terma syaghaf ketika menceritakan kisah cinta Zulaikha iaitu isteri pembesar Mesir terhadap Nabi Yusuf. Ia ada disebut dalam surah Yusuf ayat 30:

'Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.'

* Cinta seperti ini merupakan cinta yang tidak dibenarkan dalam Islam kerana ia membuatkan pelakunya keterlaluan mencintai pasangannya sehingga melupakan tugasan hakikinya di dunia.

4. Cinta mail.

Sejenis cinta sementara yang membara sehingga terlalu menumpukan pada cintanya hinggakan perkara lain tidak diberi perhatian. Dalam Al-Quran, cinta jenis ini disebut dalam konteks poligami di mana ketika orang tersebut jatuh cinta pada pasangan yang muda (an tamilu kulla al mail) dan cenderung mengabaikan pasangannya yang tua. Ia ada disebut dalam surah An-Nisaa ayat 129:

'Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.'



5. Cinta ro'fah.

Cinta jenis ini melahirkan rasa kasihan, tidak sampai hati, sanggup mengetepikan norma-norma kebenaran dan membela orang yang disayangi walaupun hakikatnya. Dia juga meletakkan cintanya kepada makhluk lebih tinggi daripada cintanya kepada Allah SWT sehingga sanggup melonggarkan peraturan Allah SWT. Misalnya, kerana terlalu kasihankan anak yang mengantuk sanggup tidak mengejutkan anak untuk bangun bersolat. Ia ada disebut dalam surah An-Nur ayat 2:

'Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan (Ro'fah) terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.'

6. Cinta shobwah.

Sejenis cinta buta yang mendorong pencintanya menyimpang daripada agama dan norma kehidupan tanpa sanggup mengelak. Misalnya pasangan yang bercinta berniat pada mulanya untuk berborak santai tetapi atas dasar cinta, apabila digoda pasangan ini sanggup melakukan kemungkaran. Cinta sebegini ada disebut dalam Al-Quran ketika kisah Nabi Yusuf berdoa kepada Allah SWT agar dihindarkan daripada Zulaikha yang ketika itu menggodanya setiap hari. Ketika itu, Nabi Yusuf bermohon agar dimasukkan ke penjara kerana bimbang imannya akan tergugat. Ia ada disebut dalam surah Yusuf ayat 33:

'Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: 'Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.'

7. Cinta Al-hub.

Dr 'Aidh al-Qarni mengatakan bahawa tidak ada ertinya cinta dalam bahasa Arab melainkan kata 'Al-Hub yang terdiri daripada kata 'ha' dan 'ba'. Huruf 'ha' keluar dengan mulut membuka hingga akhirnya menutup dan menyatukannya kembali. Kata Hub merupakan kata yang umum digunakan sebagai erti pada kata cinta. Kita sering mendengar Hubbudunya yang bererti cinta dunia atau uhibbuka yang bererti 'Aku cinta padamu'. Ia ada disebut dalam surah Al-Fajr ayat 20:

'Serta kamu pula mencintai (Hub) harta dengan kecintaan (Hub) yang berlebihan.'

8. Cinta sakinah.

Sakinah berasal dari sakana-yaskunu yang membawa maksud sesuatu yang menenangkan. Semua pasangan yang berkahwin pasti inginkan ketenteraman dalam rumah tangga, malah lebih produktif berbanding sebelum kahwin. Oleh itu carilah pasangan yang boleh memberikan kedamaian iaitu melalui agamanya. Ia ada disebut dalam surah Al-A'raaf ayat 189:

'Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua daripada (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain...'

9. Cinta syauq (rindu).

Cinta jenis ini diambil daripada hadis yang mentafsirkan Al-Quran. Ia ada disebut dalam surah Al-'Ankabuut ayat 5:

'Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi); dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.'

Malah kalimat kerinduan ini turut diungkapkan dalam doa ma'tsur daripada hadis riwayat Ahmad:

'Aku mohon dapat merasakan nikmatnya memandang wajah-Mu dan nikmatnya kerinduan untuk berjumpa dengan-Mu.'

Pasangan yang dilanda dengan cinta Syauq ini merupakan pasangan yang mampu mempertahankan cintanya walaupun menjalinkan hubungan jarak yang jauh.

10. Cinta kulfah.

Merupakan perasaan cinta yang disertai dengan kesedaran dalam mendidik perkara-perkara positif. Dalam Al-Quran disebut bahawa Allah SWT tidak akan membebani seseorang melainkan dengan kemampuannya.

Anda masih belum bertemu jodoh?

Jika anda belum bertemu jodoh, adakah anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari? Mungkin anda buntu di mana dan bagaimana untuk mencari. Oleh itu, DAFTAR SEKARANG di Baituljannah.com secara PERCUMA. Seramai 474,617 ORANG CALON sudah berdaftar di Baituljannah.com dan sudah ramai yang berjaya menemui jodoh. Siapa sangka, mungkin anda juga akan bertemu jodoh anda di Baituljannah.com. Jangan berlengah lagi, DAFTAR SEKARANG melalui borang di bawah ini.

 

 

Artikel Lain

Tinggalkan Komen